DUNIA

Hospital Thailand didenda guna fail pesakit sebagai beg isi snek

Astro Awani 02/08/2025 | 10:10 MYT
Lebih 1,000 fail pesakit yang mengandungi maklumat dilindungi telah disalah urus selepas dihantar kepada sebuah perniagaan kecil untuk pelupusan. -Foto Facebook PDPA Thailand
BANGKOK: Sebuah hospital swasta utama di Thailand didenda 1.21 juta baht (kira-kira RM155,000) selepas fail pesakit yang sepatutnya dimusnahkan didapati diguna sebagai beg untuk mengisi snek tradisional khanom Tokyo.


Ringkasan AI
  • Hospital swasta Thailand didenda 1.21 juta baht kerana guna fail pesakit sebagai pembungkus makanan.
  • Agensi kerajaan dan perniagaan lain turut dikenakan denda akibat kebocoran data peribadi rakyat Thailand.
  • Sejak 2024, PDPC selesai enam kes pelanggaran data dengan jumlah denda mencecah 21.5 juta baht.


Menurut Jawatankuasa Perlindungan Data Peribadi (PDPC), lebih 1,000 fail pesakit yang mengandungi maklumat dilindungi telah disalah urus selepas dihantar kepada sebuah perniagaan kecil untuk pelupusan.


Pemilik perniagaan itu mengaku dokumen tersebut bocor selepas disimpan di rumahnya dan digunakan sebagai pembungkus makanan.

Selain hospital berkenaan, pemilik perniagaan pelupusan turut dikenakan denda sebanyak 16,940 baht.

Dalam kes berasingan, sebuah agensi kerajaan didenda 153,120 baht selepas maklumat peribadi lebih 200,000 rakyat Thailand dibocorkan susulan serangan siber ke atas aplikasi web mereka.

Data tersebut kemudian dijual di laman gelap.

Siasatan mendapati kelemahan keselamatan seperti kata laluan lemah, tiada penilaian risiko, dan ketiadaan perjanjian pemprosesan data dengan pembangun aplikasi.

Tiga lagi kes melibatkan kebocoran data oleh peruncit dan pengedar dalam talian, dengan jumlah denda antara 500,000 hingga 7 juta baht.

Sejak 2024, PDPC telah menyelesaikan enam kes pelanggaran data peribadi dengan jumlah denda mencecah 21.5 juta baht.









#khanom Tokyo #hospital disaman #Jawatankuasa Perlindungan Data Peribadi #PdPc