INTERNATIONAL
Houthi mengaku bertanggungjawab lancar peluru berpandu ke Israel

Yahya Sarea berkata, pihaknya mengaku bertanggungjawab atas serangan itu dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen pada Khamis.
- Gambar Reuters
SANAA: Tentera Israel telah memintas sebuah peluru berpandu yang dilancarkan oleh kumpulan Houthi di Yaman selepas beberapa kawasan di Israel mengaktifkan sistem amaran.
Dalam pada itu, jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea berkata, pihaknya mengaku bertanggungjawab atas serangan itu dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen pada Khamis.
"Pasukan Peluru Berpandu Angkatan Bersenjata Yaman telah melancarkan satu operasi ketenteraan khusus yang menyasarkan Lapangan Terbang Lod, Israel yang dikenali sebagai Lapangan Terbang 'Ben Gurion', di kawasan jajahan Yaffa, menggunakan peluru berpandu balistik hipersonik.
"Peluru berpandu tersebut telah berjaya mencapai sasarannya, menyebabkan jutaan Zionis melarikan diri ke tempat perlindungan dan menghentikan operasi lapangan terbang selama hampir satu jam," katanya.Kumpulan itu telah melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Israel serta menyerang banyak kapal di laluan perkapalan dunia sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Pelancaran peluru berpandu itu merupakan kali kedua dalam tempoh dua hari, serentak dengan lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke negara Teluk.
Houthi, kumpulan yang menguasai sebahagian besar wilayah Yaman selama lebih sedekad, mula menyerang kapal-kapal yang dikaitkan dengan Israel di Laut Merah dan Teluk Aden sejak November 2023, beberapa minggu selepas bermulanya perang Israel-Hamas.
Mereka kemudian memperluaskan serangan mereka terhadap kapal-kapal milik AS dan Britain selepas kedua-dua negara itu melancarkan serangan ketenteraan ke atas Houthi pada Januari 2024.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami