DUNIA

Hujan lebat, banjir kilat landa pantai timur AS

Astro Awani 01/08/2025 | 02:50 MYT
New York dan New Jersey isytihar darurat, dengan hampir 50 juta penduduk di bawah amaran banjir. - Foto AP
NEW YORK: Ribut kuat dan hujan lebat melanda pantai timur Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, menyebabkan banjir kilat yang menenggelamkan jalan raya, sistem subway, dan lapangan terbang utama dari Washington D.C. hingga ke Boston.


Ringkasan AI
  • Ribut dan hujan lebat melanda Pantai Timur AS, menyebabkan banjir kilat yang menenggelamkan jalan raya, subway, dan lapangan terbang dari Washington D.C. hingga Boston.
  • New York dan New Jersey isytihar darurat, dengan hampir 50 juta penduduk di bawah amaran banjir; perkhidmatan kereta api dan penerbangan tergendala.
  • Amaran puting beliung dan gangguan elektrik turut dilaporkan, manakala penduduk diminta berpindah ke tempat lebih tinggi dan elak keluar rumah kecuali perlu.


Keadaan memaksa pengisytiharan darurat negeri di New York dan New Jersey, dengan hampir 50 juta penduduk berada di bawah amaran banjir.

Di New York City, jalan utama seperti Clearview Expressway di Queens ditutup selepas air naik mendadak.

Rakaman menunjukkan kenderaan tenggelam dan penumpang terpaksa berdiri di atas bumbung kereta untuk menyelamatkan diri.

Sistem kereta api komuter ke Long Island turut digantung perkhidmatan, manakala subway dan bas mengalami kelewatan besar akibat air yang melimpah masuk ke stesen.

Pegawai tempatan menggesa penduduk agar tidak keluar rumah kecuali jika perlu, dan mereka yang tinggal di tingkat bawah diminta berpindah ke tingkat lebih tinggi.

Lapangan terbang di New York, New Jersey dan Philadelphia melaporkan kelewatan dan pembatalan penerbangan besar-besaran, dengan semua penerbangan masuk ditangguhkan sehingga cuaca reda.

Di Maryland dan Pennsylvania, sekolah dan perpustakaan ditutup awal, dan pusat perlindungan kecemasan dibuka untuk penduduk yang terjejas.

Amaran puting peliung turut dikeluarkan di New Jersey, walaupun tiada puting beliung dilaporkan.

Lebih 6,000 pelanggan elektrik terputus bekalan di kawasan terjejas.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memberi amaran bahawa hujan lebat sehingga 15 sentimeter dijangka berterusan sehingga Jumaat, dengan risiko banjir kilat masih tinggi di beberapa negeri termasuk Connecticut dan Virginia.







#ribut #hujan lebat #banjir #darurat