DUNIA
Hujan lebat berterusan jejas Pakistan, empat penduduk maut akibat banjir
LAHORE: Luruan monsun yang melanda bandar kedua terbesar Pakistan, Lahore sejak Khamis menyebabkan jalan utama dan kawasan rendah ditenggelami air, sekali gus mengganggu aliran trafik.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA), sebanyak empat kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.
Ia selepas bandar itu menerima hujan sebanyak 150mm yang mencatatkan jumlah tertinggi dalam sehari sepanjang musim monsun tahun ini.
Seorang penduduk terjejas, Mohammad Aamirx, menghargai usaha Agensi Air dan Sanitasi (WASA) yang berjaya mengurangkan paras air di Lakshmi Chowk."Kami menghargai usaha WASA dalam mengurangkan paras air di Lakshmi Chowk. Usaha mereka telah membantu mengurangkan kesesakan dan banjir yang sebelum ini menyukarkan orang ramai untuk melalui kawasan tersebut," katanya.
Sementara itu, banjir kilat turut menenggelamkan beberapa kawasan komersial utama termasuk Gulberg dan Pasar Liberty dengan paras air mencecah sehingga paras pinggang.
Sejak 26 Jun lalu, sekurang-kurangnya 90 orang termasuk 45 kanak-kanak maut akibat insiden berkaitan yang mana kebanyakan kes kematian berpunca daripada lemas, tanah runtuh dan runtuhan struktur ketika hujan lebat.
Sementara itu, NDMA turut mengeluarkan amaran baharu berhubung kemungkinan banjir kilat dan letusan tasik glasier di wilayah utara dan barat laut Gilgit-Baltistan serta Khyber Pakhtunkhwa, susulan peningkatan suhu yang ketara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami