MADRID: Hujan lebat yang melanda timur Sepanyol minggu ini mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang maut, selain banjir dan gangguan pengangkutan di beberapa wilayah di sepanjang pantai Mediterranean, lapor Xinhua.
Menurut perkhidmatan kecemasan di wilayah timur laut Catalonia pada Khamis, mereka menemukan mayat seorang lelaki yang kenderaannya dihanyutkan banjir lewat Rabu di Olivella, wilayah Barcelona.
Mayat ditemukan kira-kira 500 meter dari kenderaan itu, yang terperangkap akibat paras sungai naik, menurut anggota bomba Catalan.
Perkhidmatan kecemasan menerima laporan kejadian pada 11:03 malam waktu tempatan pada Rabu selepas saksi melihat kenderaan itu dibawa arus.
Sebanyak 11 unit pemadam kebakaran, bersama pasukan pakar penyelamat bawah air dan pakar dron, dikerahkan dalam pencarian semalaman.
Kematian itu berlaku ketika ribut petir kuat melanda sebahagian besar pantai Mediterranean Sepanyol, khususnya Catalonia dan wilayah timur Valencia.
Agensi cuaca Sepanyol meletakkan bahagian Catalonia, Valencia dan kawasan timur lain di bawah amaran cuaca jingga pada Rabu. Pada Khamis, agensi itu menaikkan amaran kepada warna merah buat sementara waktu di bahagian wilayah tenggara Murcia kerana hujan lebat menyebabkan banjir di sekitar Cartagena.
Di Valencia, hujan lebat membanjiri jalan raya dan menjejaskan pengangkutan awam. Lapangan Terbang Valencia ditutup buat sementara waktu pada petang Rabu, dengan 12 penerbangan masuk dialihkan, manakala bahagian rangkaian Metrovalencia terjejas akibat banjir.
-- BERNAMA-XINHUA
TAG: timur Sepanyol, banjir, seorang maut