DUNIA

Hujan lebat ragut sekurang-kurangnya 10 nyawa di Gaza - WHO

Bernama 14/12/2025 | 02:30 MYT
Penduduk Palestin meredah jalan yang dinaiki air selepas hujan lebat melanda Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AP
ISTANBUL: Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 10 orang di Semenanjung Gaza meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu akibat hujan lebat, ketika ribuan keluarga berlindung di dalam khemah dengan perlindungan amat terhad terhadap musim sejuk.


Ringkasan AI
  • WHO sahkan 10 kematian dalam 24 jam akibat hujan lebat di Gaza.
  • Tedros beri amaran risiko penyakit meningkat akibat cuaca buruk dan sanitasi lemah.
  • WHO gesa kemasukan segera bekalan perubatan yang disekat ke Gaza.


Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran menerusi media sosial bahawa pendedahan berterusan kepada cuaca buruk, bekalan air dan sanitasi yang tidak mencukupi, serta keadaan tempat tinggal yang sesak berkemungkinan mencetuskan peningkatan jangkitan pernafasan akut, termasuk influenza, selain hepatitis dan penyakit cirit-birit, lapor Anadolu Ajansi.

Beliau berkata WHO terus berdepan halangan dalam usaha menghantar reagen makmal dan peralatan diagnostik ke Gaza, sambil memaklumkan bahawa banyak bekalan dinafikan kemasukan selepas diklasifikasikan sebagai barangan dwiguna.

Tedros menyeru kemasukan segera bahan-bahan penting berkenaan, dengan menegaskan ia kritikal bagi pengesanan awal, tindak balas dan rawatan tepat pada masanya terhadap penduduk yang berdepan risiko penularan penyakit di wilayah itu.

Israel telah membunuh lebih 70,300 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,000 yang lain dalam serangan di Gaza sejak Oktober 2023, meskipun gencatan senjata diumumkan.

Tentera Israel dilaporkan berulang kali melanggar gencatan senjata itu, mengorbankan sekurang-kurangnya 386 rakyat Palestin dan mencederakan 1,018 yang lain sejak perjanjian berkenaan berkuat kuasa pada 10 Okt.

-- BERNAMA






#hujan lebat #WHO #amaran risiko penyakit meningkat #Tedros Adhanom Ghebreyesus