SEOUL: Hujan lebat yang disertai angin kencang melanda Seoul pada Ahad, mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan, gangguan trafik serta kerosakan harta benda di ibu negara Korea Selatan itu, menurut The Korea Times.
Pihak berkuasa bandar raya memaklumkan hujan lebat setempat menyebabkan sistem perparitan tersumbat akibat timbunan daun yang dibawa angin kuat, sekali gus mengakibatkan air melimpah di beberapa lokasi.
Daerah Gangbuk merekodkan kadar hujan tertinggi sebanyak 53.5 milimeter sejam, manakala jumlah taburan hujan terkumpul di kawasan itu mencecah 65 milimeter.
Menurut Jabatan Bomba Seoul, sebanyak 129 panggilan kecemasan diterima setakat jam 5 petang, termasuk permintaan bantuan saliran, kejadian pokok tumbang dan pemeriksaan keselamatan kemudahan awam.
Kerajaan bandar Seoul turut mengeluarkan amaran kecemasan kepada penduduk supaya menjauhi kawasan rendah dan berisiko tinggi berikutan cuaca buruk.
Paras air yang meningkat memaksa pihak berkuasa mengehadkan akses ke 16 aliran sungai utama di bandar itu, sementara beberapa jalan utama ditutup akibat banjir.
Sebuah pokok tumbang di daerah Gangnam sehingga menghalang laluan kenderaan dan pejalan kaki, manakala beberapa kawasan rendah di daerah Eunpyeong dilaporkan ditenggelami air hingga ke paras lutut.
Cuaca buruk itu turut menyebabkan beberapa acara luar dibatalkan, termasuk Festival Grand Mint yang dijadualkan berlangsung di Taman Olimpik.
Menurut The Korea Times, pihak berkuasa Seoul telah mengaktifkan tahap pertama tindak balas kecemasan dan mengoperasikan sebahagian stesen pam air hujan bagi mempercepatkan pengaliran air dari kawasan yang terjejas.
Seorang pegawai bandar raya berkata walaupun hujan semakin reda, laporan kerosakan masih diterima dan usaha kini tertumpu kepada menangani isu keselamatan serta mencegah kejadian susulan.