23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
DUNIA

Hujan lebat, tanah runtuh ragut 20 nyawa di wilayah timur laut India

Bernama 05/10/2025 | 11:30 MYT
Di seberang sempadan Nepal, tanah runtuh dan banjir kilat turut mengorbankan puluhan nyawa di seluruh negara. - Foto REUTERS/Navesh Chitrakar
NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 20 orang maut selepas hujan lebat dan tanah runtuh memusnahkan infrastruktur serta kediaman di wilayah timur laut India.


Ringkasan AI
  • Sekurang-kurangnya 20 orang maut akibat hujan lebat dan tanah runtuh yang memusnahkan infrastruktur serta kediaman di Bengal Barat, India.
  • Beberapa jambatan runtuh, jalan raya rosak dan laluan utama ke Sikkim terputus, manakala hujan melebihi 300 milimeter dalam tempoh 12 jam.
  • Di Nepal, wilayah bersebelahan turut dilanda bencana sama dengan sekurang-kurangnya 36 kematian dilaporkan di wilayah Koshi.


Hujan dan tanah runtuh sejak Sabtu menyebabkan kemusnahan besar di utara negeri Bengal Barat.

Tujuh orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di kawasan Mirik, daerah Darjeeling, manakala sebahagian jambatan Dhudia di Sungai Balason yang menghubungkan Siliguri dan Mirik runtuh, lapor media tempatan.

Banyak jalan raya rosak di wilayah Tadbir Urus Wilayah Gorkhaland, menjejaskan hubungan pengangkutan ke bandar dan penempatan di kawasan perbukitan.

Negeri kecil Sikkim di timur laut turut terputus hubungan dengan Bengal Barat selepas laluan utama daratnya tertimbus akibat tanah runtuh.

Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee, berkata hujan lebat pada malam Sabtu telah menyebabkan banjir di bahagian utara dan selatan negeri itu.

Beliau memaklumkan jumlah hujan di Bengal utara melebihi 300 milimeter dalam tempoh 12 jam.

"Dua jambatan besi runtuh, beberapa jalan rosak atau ditenggelami air, dan kawasan luas di daerah Darjeeling, Kalimpong, Jalpaiguri serta Alipurduar turut dinaiki air," katanya dalam catatan di platform media sosial X pada Ahad.

Sementara itu, di seberang sempadan Nepal, tanah runtuh dan banjir kilat turut mengorbankan puluhan nyawa di seluruh negara.

Sekurang-kurangnya 36 kematian dilaporkan di wilayah Koshi, Nepal, yang bersempadan dengan kawasan timur laut India yang dilanda bencana.

-- BERNAMA


#hujan lebat #timur laut India #tanah runtuh #Darjeeling