[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Hun Manet gesa PM baharu Thailand selesaikan konflik sempadan secara aman

Bernama 07/09/2025 | 20:30 MYT
Manet berkata beliau harap dapat bekerjasama rapat dengan Anutin untuk memulihkan hubungan antara Kemboja dan Thailand kepada keadaan biasa. - Gambar fail/BERNAMA
PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja Hun Manet menggesa Perdana Menteri baharu Thailand Anutin Charnvirakul supaya segera menyelesaikan konflik sempadan antara kedua-dua negara.

Dalam perutusan tahniah kepada Anutin, Manet berkata Kemboja dan Thailand merupakan jiran terdekat dari segi geografi serta negara anggota ASEAN, dan kedua-dua negara perlu wujud bersama dalam persekitaran aman.

"Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan anda untuk memulihkan hubungan antara Kemboja dan Thailand kepada keadaan biasa, membina semula kepercayaan bersama dan mengubah sempadan yang dikongsi antara kedua-dua kerajaan menjadi sempadan yang aman, penuh kerjasama, pembangunan dan kemakmuran bersama," kata Manet dalam perutusan yang dimuat naik di laman Facebook beliau pada Ahad.

Anutin, 58, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Thailand ke-32 pada Ahad selepas memperoleh majoriti dalam undian di Parlimen pada Jumaat.

Hubungan diplomatik antara Kemboja dan Thailand terjejas susulan pertikaian sempadan yang mencetuskan pertempuran ketenteraan pada 24 Julai.

Gencatan senjata dicapai lima hari kemudian dengan sokongan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, Amerika Syarikat dan China.

Kira-kira 300,000 orang awam Kemboja dan Thailand terpaksa dipindahkan sepanjang beberapa minggu yang tegang itu sebelum kedua-dua angkatan tentera bersetuju mengadakan rundingan damai bagi menangani pertikaian sempadan yang berlarutan.

Pemimpin kanan tentera dari kedua-dua pihak kini sedang mengadakan perbincangan melalui mekanisme Jawatankuasa Sempadan Serantau bagi menyelesaikan isu-isu yang boleh membawa kepada keamanan berkekalan.

-- BERNAMA



#Hun Manet #konflik sempadan #Anutin Charnvirakul #konflik Thailand-Kemboja