BRUSSELS: Hungary bakal menerima kira-kira €10 bilion (US$11.4 bilion) daripada dana pemulihan Kesatuan Eropah (EU) yang diwujudkan ketika krisis pandemik COVID-19, susulan pertukaran kerajaan dan selepas negara anggota memberikan kelulusan mereka pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Wakil negara anggota yang bermesyuarat di Brussels meluluskan program pembaharuan dan pelaburan yang turut bertujuan memperkukuh usaha memerangi rasuah serta meningkatkan ketelusan dalam pengurusan dana awam dan perolehan kerajaan.
Dana EU bernilai berbilion euro yang diperuntukkan kepada Hungary sebelum ini tidak disalurkan di bawah pentadbiran kerajaan berhaluan kanan pimpinan Viktor Orban berikutan pelanggaran prinsip kedaulatan undang-undang dan nilai asas EU.
Perdana Menteri baharu Hungary Peter Magyar dan kerajaannya memulakan perubahan dasar politik serta berharap dana berkenaan dapat disalurkan dengan segera.
Menurut EU, daripada jumlah €10 bilion itu, kira-kira €6.5 bilion merupakan geran manakala sekitar €3.5 bilion adalah dalam bentuk pinjaman.
"Seperti semua pelan nasional, pembayaran di bawah pelan ini adalah berasaskan prestasi. Ini bermakna Suruhanjaya hanya akan menyalurkan dana kepada setiap negara selepas mereka mencapai pencapaian dan sasaran yang dipersetujui bagi melaksanakan pembaharuan serta pelaburan yang terkandung dalam pelan masing-masing," menurut kenyataan EU.
-- BERNAMA-dpa