BUDAPEST: Perdana Menteri Hungary, Peter Magyar mengumumkan pada Selasa bahawa kerajaan merancang memperkenalkan cukai kekayaan mulai 1 Jan 2027, lapor Xinhua.
Cukai itu akan dikenakan pada kadar satu peratus terhadap kekayaan melebihi satu bilion forint Hungary (AS$3.1 juta) dan 1.5 peratus terhadap kekayaan melebihi 100 bilion forint (AS$310 juta), kata Magyar dalam video di Facebook.
Beliau berkata, cukai itu meliputi hartanah, pelaburan dan pegangan dalam syarikat, termasuk aset yang dimiliki di luar negara atau melalui struktur pengurusan aset.
Hutang boleh ditolak daripada asas cukai manakala cukai hartanah dan kenderaan boleh ditolak daripada jumlah liabiliti.
Magyar berkata, bayaran tahunan pertama yang dibuat sendiri akan perlu dijelaskan selewat-lewatnya pada 31 Ogos 2027, berdasarkan aset yang dimiliki pada akhir 2026.
Cadangan berkenaan akan melalui proses perundingan awam secara menyeluruh sebelum diluluskan.
-- BERNAMA-XINHUA