INTERNATIONAL

Hungary umum tarik diri dari Mahkamah Jenayah Antarabangsa

Bernama 03/04/2025 | 13:14 MYT
Beberapa kumpulan hak asasi manusia, termasuk Amnesty International dan Human Rights Watch menggesa Hungary untuk menahan Netanyahu ketika lawatan itu dan menyerahkannya kepada ICC. - AP
ATHENS: Hungary pada Khamis mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), lapor Anadolu Ajansi.

Menurut Ketua Staf Perdana Menteri Viktor Orban, Gergely Gulyas proses penarikan diri dari mahkamah yang berpangkalan di The Hague itu akan bermula hari ini.

Beliau berkata bahawa keputusan itu selaras dengan kewajipan perlembagaan dan undang-undang antarabangsa negara itu.

Pengumuman dibuat serentak dengan kunjungan rasmi Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu ke Hungary selama empat hari.

Lawatannya ke Hungary menandakan kali pertama Netanyahu menjejakkan kaki di Eropah sejak ICC mengeluarkan waran tangkap terhadapnya pada November lalu atas tuduhan jenayah perang di Gaza.

Beberapa kumpulan hak asasi manusia, termasuk Amnesty International dan Human Rights Watch menggesa Hungary untuk menahan Netanyahu ketika lawatan itu dan menyerahkannya kepada ICC.

Pada November lalu, ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap perdana menteri Israel itu serta bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel kini berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tindakannya di Gaza yang telah mengorbankan lebih 50,400 nyawa sejak 7 Okt 2023.

-- BERNAMA

#Hungary #tarik diri #Mahkamah Jenayah Antarabangsa #Israel #ICC