[TERKINI] Sistem Pendidikan Malaysia Berubah Bermula 2027: Darjah Satu Umur 6, Penilaian Murid Tahun 4 & Tingkatan 3 – Ini Perkara yang Ibu Bapa WAJIB Tahu
DUNIA

Ibarat 'gol sendiri', rakyat Amerika tanggung hampir keseluruhan kos tarif Trump - Penyelidik

Bernama 20/01/2026 | 07:03 MYT
Tarif AS disifatkan sebagai 'gol sendiri'. - Gambar/ Reuters
ISTANBUL: Kos tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebahagian besarnya ditanggung oleh rakyat Amerika sendiri, dengan 96 peratus daripada beban tarif dipindahkan kepada pengimport dan pengguna di AS, menurut sebuah institut penyelidikan yang berpangkalan di Jerman pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.


Ringkasan AI
  • 96% kos tarif import AS ditanggung oleh pengimport dan pengguna di AS, bukan pengeksport asing seperti yang dimahukan oleh kerajaan Trump, menurut laporan Institut Kiel bagi Ekonomi Dunia.
  • Hasil tarif dijangka meningkat hingga US$200 bilion menjelang 2025, dengan hanya 4% beban tarif ditanggung oleh pengeksport asing, sementara 96% dipindahkan kepada rakyat Amerika.
  • Dasar tarif yang diperkenalkan oleh AS sebenarnya memberi kesan negatif kepada ekonomi domestik dengan mengurangkan kepelbagaian produk di pasaran, membawa kepada harga yang lebih tinggi untuk pengguna, dan menekan pengeksport asing untuk mencari pasaran alternatif.


"Bertentangan dengan retorik kerajaan AS, kos tarif import AS tidak ditanggung oleh pengeksport asing," kata Institut Kiel bagi Ekonomi Dunia - sebuah kumpulan bebas bukan berasaskan untung - dalam satu laporan.

Laporan itu menyatakan bahawa hasil AS daripada tarif diunjurkan meningkat kira-kira US$200 bilion menjelang 2025, dan pengeksport asing hanya menanggung kira-kira empat peratus daripada beban tarif tersebut, manakala 96 peratus lagi dipindahkan kepada pengimport dan pengguna AS.

Bulan lepas, Trump memberitahu pemberita di Rumah Putih: "Disebabkan tarif ini, kita telah mengutip lebih daripada 18 - fikirkan tentang ini - lebih US$18 trilion. Tidak pernah ada perkara seumpama ini sebelum ini." Minggu lepas, di Kelab Ekonomi Detroit, beliau berkata tarif tersebut telah "membantu mengekang inflasi."

Bagaimanapun, laporan itu menegaskan bahawa walaupun pentadbiran AS bertujuan menyasarkan syarikat asing dengan tarif, dasar ini sebenarnya memudaratkan ekonomi domestik.

Laporan itu menyatakan bahawa tarif tersebut bertindak seperti sejenis cukai penggunaan ke atas produk import, yang membawa kepada pengurangan dalam kepelbagaian dan kuantiti produk di pasaran.

Ia menambah bahawa penemuan ini bermakna dalam jangka masa panjang, syarikat AS akan melihat margin keuntungan yang lebih kecil, pengguna akan berhadapan dengan harga yang lebih tinggi, dan negara yang mengeksport ke AS akan menyaksikan jualan yang lebih sedikit serta berada di bawah tekanan untuk mencari pasaran baharu.

"Tarif ini adalah gol sendiri," kata Julian Hinz, pengarah penyelidikan Kiel. "Dakwaan bahawa negara asing membayar tarif ini adalah satu mitos. Data menunjukkan sebaliknya: rakyat Amerika yang membayar bil tersebut."

Laporan itu menganalisis lebih 25 juta rekod penghantaran dengan nilai keseluruhan kira-kira US$4 trilion.

-- BERNAMA


#tarif Trump #rakyat Amerika Syarikat #Donald Trump #tarif global