Ibu bapa juruterbang pesawat JT610 ke Jakarta

Astro Awani
Oktober 29, 2018 23:23 MYT
Pasangan Gulshan Suneja dan Sangeeta Suneja itu dirakam meninggalkan kediaman mereka di New Delhi dan menaiki sebuah kereta menuju ke lapangan terbang. REUTERS
Ibu bapa kepada juruterbang pesawat Lion Air JT610 yang terhempas di perairan Tanjung Karawang, Jawa Barat, Bhavye Suneja, telah berlepas ke Jakarta pada Isnin.
Pasangan Gulshan Suneja dan Sangeeta Suneja itu dirakam meninggalkan kediaman mereka di New Delhi dan menaiki sebuah kereta menuju ke lapangan terbang.
Bapa Bhavye kelihatan tidak dapat menahan air mata ketika di dalam kereta.
Kedutaan India di Jakarta sebelum ini mengesahkan juruterbang pesawat malang berkenaan sebagai warganegara India.
Bhavye, 32 tahun, sudah berkhidmat bersama Lion Air selama tujuh tahun lapan bulan, bermula Mac 2011. Mendiang meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan.
Memetik laporan Kompas TV, Bhavye pernah menjalani latihan sebagai juruterbang Boeing 737 NG di Emirates selama empat bulan pada tahun 2010.
Juruterbang yang mengemudi pesawat yang membawa 178 penumpang dewasa, seorang kanak-kanak dan dua bayi itu mempunyai pengalaman mengendalikan penerbangan lebih daripada 6,000 jam.
#Bhavye Suneja #ibu bapa #Jakarta #JT610 #Juruterbang #Lion Air #New Delhi #pesawat #Tanjung Karawang #terhempas