[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
INTERNATIONAL

Ibu buang bayi dalam tangki air kerana kerap menangis

Sinar Harian 11/04/2025 | 00:50 MYT
Mayat bayi lelaki ditemui dalam tangki air dipercayai dicampak ibunya. - Gambar hiasan
AHMEDABAD: Seorang wanita berusia 22 tahun ditahan pihak polis selepas disyaki membunuh bayi lelakinya yang berusia tiga bulan dengan mencampaknya ke dalam tangki air bawah tanah di rumah mereka di Ambikanagar, Gujarat, India.
Ketua Balai Polis Meghaninagar, Inspektor DB Basiya memaklumkan bahawa suspek, Karishma Baghel sebelum ini mendakwa anak lelakinya, Khayal telah hilang dari rumah pada Sabtu lalu.
Susulan itu, suaminya, Dilip, kemudian membuat laporan polis.
Bagaimanapun, selepas usaha pencarian dilakukan, mayat bayi berkenaan ditemui dalam tangki air di kediaman mereka pada 7 April lalu.
“Siasatan lanjut mendapati bahawa suspek sendiri yang telah mencampakkan anaknya ke dalam tangki tersebut. Wanita itu ditahan pada malam Isnin,” kata Basiya kepada wartawan pada Khamis, lapor NDTV.
Menurut Basiya, Karishma dipercayai mengalami tekanan emosi dan fizikal sejak mengandung, dan sering mengadu mengenai masalah kesihatan serta menyatakan dirinya tertekan kerana anaknya kerap menangis.
Katanya lagi, kenyataan yang diberikan oleh Karishma kepada pihak polis juga bercanggah sekali gus menimbulkan keraguan.
“Dia mendakwa meletakkan anaknya di dalam bilik sebelum ke bilik air, dan menyedari anaknya hilang apabila kembali.
"Namun, hasil siasatan menunjukkan mustahil bayi itu boleh terjatuh ke dalam tangki air secara tidak sengaja kerana struktur tangki berkenaan tertutup rapat,” jelas Basiya.
Pihak polis kini menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah seksyen berkaitan pembunuhan mengikut undang-undang India. - Sinar Harian memetik agensi
#bayi #bunuh #tangki air #menangis