Ibu catat rekod lahirkan 44 orang anak

Agensi
April 29, 2019 12:16 MYT
Mariam Nabatanzi (rambut merah) bersama beberapa orang anaknya di rumah mereka di kampung Kasawo, daerah Mukono, timur Kampala, Uganda pada 8 Mac 2019. - REUTERS
SEORANG ibu mencipta rekod selepas melahirkan 44 orang anak, sekaligus menghasilkan keluarga terbesar di Timur Kampala, Uganda.
Memetik laporan Reuters, Mariam Nabatanzi, 39, telah melahirkan enam pasangan kembar dua, empat pasangan kembar tiga dan lima pasangan kembar empat.
Daripada jumlah itu, enam anak tidak dapat diselamatkan. Bayi terakhir yang maut juga merupakan pasangan kembar. Insiden berlaku pada kehamilan terakhir Nabantazi sekitar dua tahun.
Doktor mengesahkan Nabatanzi mempuyai saiz ovari yang jauh lebih besar dan berbeza daripada wanita biasa, namun dia tidak disarankan mengambil pil perancang kerana ianya akan memudaratkan kesihatan.
Rata-rata wanita di Uganda mempunyai saiz keluarga yang besar dengan purata 5.6 orang anak bagi setiap wanita manakala purata global bagi sesebuah keluarga adalah sekitar 2.4 anak bagi seorang wanita.
Tetapi, saiz keluarga Nabatanzi lebih besar daripada purata normal di negara tersebut.
Bagaimanapun, keadaan keluarganya yang begitu daif menyukarkan dia untuk menjaga 38 orang anaknya.
Dia juga terpaksa menanggung penderitaan bersendirian untuk menjaga anak-anaknya selepas suaminya meninggalkan keluarga itu tanpa khabar berita.
Demi kelangsungan hidup, Nabatanzi sanggup melakukan pelbagai pekerjaan seperti pendandan rambut, penghias acara, mengumpul dan menjual besi lama, membuat arak tempatan serta menjual ubat-ubatan herba.
Hasil wang itu digunakan untuk makanan, rawatan perubatan, pakaian dan yuran persekolahan anak-anaknya.
#44 anak #anak 44 orang #keluarga terbesar di Uganda #kembar dua #kembar empat #kembar tiga #ovari besar #saiz ovari #Timur Kampala #Uganda