INTERNATIONAL
Ibu Gaza "paling kuat di dunia" walaupun diuji perang, kehilangan orang tersayang
Golongan ibu di Gaza menjadi barisan pertahanan terakhir buat anak-anak dan harapan masa depan. - AP
GAZA CITY: Dalam tahun kedua kempen ketenteraan Israel di Gaza, golongan wanita di seluruh wilayah ini terus dicengkam penderitaan yang sukar dibayangkan.
Dengan kediaman musnah, keluarga hancur dan kehidupan seharian terpaksa diteruskan demi bertahan hidup, ibu telah menjadi barisan pertahanan terakhir buat anak-anak dan harapan masa depan, lapor Anadolu Ajansi.
Sejak Israel melancarkan perang terhadap Gaza pada 7 Okt 2023, wanita telah melalui pengusiran paksa, kelaparan, dahaga, dan kehidupan di tempat perlindungan sementara. Namun, kesedihan tidak tertanggung apabila kehilangan insan tersayang - kematian suami dan saudara mereka, meninggalkan kaum hawa ini untuk membesarkan anak-anak sendirian di bawah serangan bom.
Wartawan Ula Husso memberitahu Anadolu bahawa dia dan keluarganya telah dipindahkan beberapa kali sejak perang bermula. Dia kehilangan kedua-dua abangnya dalam serangan Israel. Kerana pengusiran paksa, dia tidak dapat melihat jasad abangnya yang lebih tua.
Beberapa bulan kemudian, selepas tentera Israel berundur dari Hospital Al-Shifa di Gaza City, dia kembali dengan harapan untuk mencari abangnya.
"Alhamdulillah, saya menemui jasadnya dalam keadaan utuh. Di antara jasad-jasad itu, saya mengenalinya. Itu adalah saat yang sangat sukar bagi saya. Saya mengeluarkannya dari sana dan memindahkannya ke tempat lain," katanya.
Kehilangan kedua-dua abangnya menjadikan Husso dalam kemurungan dan memaksanya untuk menangguhkan kerjayanya.
"Pada masa itu, suami saya memberi sokongan yang luar biasa. Terima kasih kepadanya, saya mengambil semula kamera saya dan mula merakamkan adegan jenayah serta aktiviti yang diatur untuk kanak-kanak. Perlahan-lahan, saya mendapatkan keyakinan semula dan menjadi seorang wartawan," katanya.
Pemulihan itu berakhir apabila suaminya turut terbunuh dalam serangan Israel.
"Itulah saat saya sedar bahawa saya perlu menjadi kuat kerana saya tidak lagi mempunyai siapa-siapa untuk bergantung. Selepas suami dan kedua-dua abang saya meninggal dunia, saya sedar saya hanya mempunyai diri saya untuk sokongan," ujarnya.
"Wanita Gaza harus kuat untuk anak-anak mereka. Saya mempunyai seorang anak lelaki; saya tidak boleh meninggalkannya kepada orang lain. Alhamdulillah, saya mengatasi semua cabaran dan terus bekerja. Walaupun saya bekerja, saya sentiasa bimbang tentangnya. Saya selalu tertanya-tanya jika sesuatu berlaku," katanya.
Husso menyifatkan kaum ibu di Gaza sebagai "paling kuat di dunia" menanggung keadaan yang hanya segelintir orang boleh bertahan.
"Kami menjadi ibu dan bapa. Ramai wanita menjadi balu, tetapi kerana mereka mempunyai anak-anak dan tanggungjawab, mereka perlu bangkit. Mereka perlu kuat untuk diri mereka sendiri dan anak-anak mereka. Mereka perlu menyokong diri mereka sendiri. Ibu-ibu Gaza setara dengan 100 lelaki," katanya.
Wafa Abu Aita, yang juga menjadi balu awal dalam perang ini, kini membesarkan lima anak sendirian. Pengusiran yang berterusan dan kelaparan telah memberi kesan, dengan makanan yang sukar diperoleh dan harga yang semakin meningkat.
"Sangat sukar bagi ibu-ibu yang kehilangan suami. Yang paling sukar bagi saya semasa perang adalah kehilangan suami saya. Menanggung begitu banyak tanggungjawab tanpa pendapatan adalah sangat mencabar," katanya.
Abu Aita berkata dia bergantung pada iman dan peranannya sebagai ibu untuk terus bertahan.
"Anak-anak diamanahkan kepada ibu bapa mereka oleh Tuhan," katanya, sambil menambah bahawa membesarkan mereka dengan baik adalah kewajipan yang dia tekad untuk laksanakan, walaupun dalam kehancuran.
Lebih 52,800 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terkorban di Gaza sejak Israel melancarkan perang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap pada November lalu terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Israel juga menghadapi kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
-- BERNAMA