MUSCAT: Sepasang ikan lumba-lumba yang kelihatan berwarna merah jambu dikesan di perairan berhampiran Pantai Qantab di Muscat, Oman, sekali gus menarik perhatian pengguna media sosial selepas rakaman video haiwan itu tular dalam talian, lapor media antarabangsa.
Menurut laporan International Business Times UK dan LatestLY, mamalia marin itu dilihat berenang bersama beberapa ikan lumba-lumba lain yang berwarna lebih gelap di kawasan pesisir pantai berhampiran ibu negara Oman.
Laporan berkenaan menyatakan pakar marin setakat ini belum dapat mengesahkan spesies sebenar haiwan tersebut, manakala warna merah jambu semata-mata tidak mencukupi untuk mengenal pasti identitinya.
Menurut laporan itu, antara spesies yang berkemungkinan mempunyai penampilan sedemikian ialah ikan lumba-lumba Risso dan ikan lumba-lumba bonggol Indo-Pasifik, namun tiada pengesahan rasmi mengenainya.
Media terbabit turut melaporkan bahawa sesetengah spesies ikan lumba-lumba boleh kelihatan lebih pucat atau kemerahan apabila meningkat dewasa, sama ada disebabkan faktor usia, parut pada kulit atau saluran darah yang lebih ketara berhampiran permukaan kulit.
Bagaimanapun, punca sebenar warna luar biasa ikan lumba-lumba yang dirakam di perairan Oman itu masih belum dapat dipastikan.
Kemunculan haiwan berkenaan mencetuskan minat dalam kalangan pencinta hidupan marin serta pemerhati alam sekitar, selain mengundang perbincangan mengenai kepelbagaian spesies ikan lumba-lumba di perairan Oman.