DETROIT: Sekumpulan penyelidik tidak menyangka aktiviti mengambil data tentang ikan yang biasa dilakukan di sekitar Detroit, Michigan, Amerika Syarikat menemukan mereka dengan seekor 'gergasi sungai'.

Minggu lalu, kecoh di media sosial negara itu berkenaan seekor ikan sturgeon seberat 108.8 kilogram dan dipercayai berusia lebih 100 tahun berjaya ditangkap di Sungai Detroit oleh Jabatan Perikanan dan Hdupan Liar AS.

Ikan yang digelar 'raksasa sungai sebenar' itu berukuran 2.1 meter (7 kaki) panjang, kata agensi itu pada Jumaat di laman Facebook lantas dikongsi sehingga puluhan ribu peminat ikan dan hidupan liar.

“Berdasarkan lebar tubuh dan saiznya, dianggarkan ikan tersebut adalah ebtina yang sudah menghuni perairan sekitarnya selama 100 tahun. Ikan itu segera dilepaskan semula ke sungai berkenaan selepas ditimbang dan diukur, kata agensi berkenaan.

Jangka hayat biasa adalah sekitar 55 tahun bagi sturgeon jantan dan antara 70 hingga 100 tahun bagi betina, menurut Jabatan Sumber Alam MIchigan.

Ikan berkenaan ditangkap pada 22 April berdekatan Grosse Ile di selatan Detroit, ketika tiga kru pengkaji sedang membuat penyelidikan tahunan tentang sturgeon. Ikan goby beku, yang menjadi kegemaran sturgeon, menjadi umpan yang diturunkan jauh ke dasar sungai.

Enam minit diperlukan untuk menaikkan ikan tersebut ke dalam bot menggunakan jaring.

“Saya merasakan ikan itu memakan umpan. Semakin dekat, saya melihatnya semakin besar," ujar Jason Fischer, yang bersama pakar biologi, Paige Wigren dan Jennifer Johnson dalam kajian itu.

Menurut Wigren, dia terlintas memikirkan bahawa pengalamannya itu akan menjadi 'cerita memancing' yang akan terus dikenang.

“Ia agak letih dan tidak terlalu melawan. Bayangkan apa yang telah dilalui sepanjang hayat ikan ini..." kata Wigren.

Sturgeon tasik disenaraikan sebagai spesies terancam di Michigan. Pemancing boleh menyimpan seekor setiap tahun, namun hanya jika ikan itu dalam saiz tertentu dan ditangkap di lokasi perairan tertentu.

Semua sturgeon yang ditangkap di Sungai Detroit perlu dilepaskan semula.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !