Imam Besar Al-Azhar bawa mesej toleransi dalam pertemuan dengan Pope Francis

Agensi
Mei 22, 2016 14:49 MYT
Poper Francis (kiri) dan Sheikh Ahmed Al-Tayeb bakal bertemu untuk membincangkan hal-hal berkaitan toleransi antara agama. - Foto AFP
Timbalan Imam Besar Al-Azhar di Mesir pada Ahad berkata ulama yang akan bertemu Pope Francis di Rome akan menyampaikan mesej tentang toleransi.
Sheikh Abbas Shuman, iaitu timbalan kepada Imam Besar Sheikh Ahmed al-Tayeb, memberitahu AFP bahawa pandangan yang dizahirkan Francis terhadap umat Islam membuatkan Ahmed Al-Tayeb mahu bertemu pemimpin Vatican itu.
“Jika bukan kerana situasi yang baik (yang ditunjukkan Pope Francis) ini, pertemuan ini tidak mungkin terjadi," ujar Abbas.
Perhubungan antara Vatican dan Al-Azhar, salah satu pusat pembelajaran Islam berprestij, sedikit tercalar pada tahun 2006 apabila pemimpin Vatican yang sebelumnya, Pope Benedict menyampaikan ucapan yang mengaitkan Nabi Muhammad dengan keganasan.
Sejak insiden berkenaan, hubungan antara Vatican dan Al-Azhar cuba diperbaiki oleh Francis sejak mengambil alih kedudukan itu pada tahun 2013, lebih-lebih lagi apabila Francis sering mengalu-alukan agenda dialog antara kepercayaan agama yang berbeza.
Francis juga menegaskan untuk menambah baik hubungan dengan dunia Islam sewaktu Ramadan pertama selepas pelantikannya.
Abbas berkata, Ahmed Al-Tayeb bakal menyampaikan mesej penting untuk dunia Barat dan Islam.
Kunjungan Ahmed Al-Tayeb adalah untuk memberikan ‘gambaran sebenar imej Islam dan untuk memperbetulkan salah faham yang dicetuskan kumpulan-kumpulan pengganas ekstremis’ di negara-negara Barat.
“Beliau menggalakkan negara-negara berkenaan agar tidak menganggap orang Islam sebagai kumpulan yang mewakili ancaman. Selain itu, beliau menggalakkan umat Islam di negara Barat agar bergaul dengan baik dalam masyarakat setempat,” jelas Abbas.
#Imam Besar Al-Azhar #Islam #Kristian Katolik #mesej toleransi #Pope Francis #Sheikh Ahmed Al-Tayebl-