DUNIA

Imej baharu rumah peribadi Epstein di pulau persendirian didedah oleh Demokrat AS

Astro Awani 03/12/2025 | 23:10 MYT
Imej-imej ini bukan sebahagian daripada pelepasan dokumen berskala besar yang dijadualkan akan diumumkan di bawah Epstein Files Transparency Act. - Foto REUTERS
WASHINGTON: Jawatankuasa Pemantauan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) yang diketuai oleh ahli Demokrat telah mendedahkan satu siri imej dan rakaman video baharu dari pulau peribadi milik mendiang Jeffrey Epstein, lokasi yang pernah dikaitkan dengan kegiatan pemerdagangan seks berprofil tinggi.

Sebanyak 10 gambar eksklusif, diambil oleh pihak berkuasa Kepulauan Virgin AS pada tahun 2020, menunjukkan ruang dalaman kediaman mewah Epstein di Pulau Little St. James.

Antara yang dipaparkan termasuk bilik dengan kerusi pergigian, ruang tamu bergaya resort, serta telefon dengan butang dail pantas yang memaparkan nama-nama seperti 'Darren', 'Rich', dan 'Larry'.

Ahli Kongres Robert Garcia berkata pendedahan ini bertujuan meningkatkan ketelusan awam dan memberi gambaran lebih jelas tentang skala jenayah Epstein.

Namun, imej-imej ini bukan sebahagian daripada pelepasan dokumen berskala besar yang dijadualkan akan diumumkan di bawah Epstein Files Transparency Act, yang telah ditandatangani menjadi undang-undang oleh Presiden AS bulan lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas teman wanita Epstein, Ghislaine Maxwell, yang sedang menjalani hukuman penjara kerana membantu Epstein memperdaya gadis bawah umur, kini dilaporkan sedang merancang untuk memohon pembebasan daripada penjara.

Menurut pemfailan mahkamah oleh peguamnya, Maxwell mendakwa pendedahan maklumat oleh Kongres boleh menjejaskan peluangnya untuk mendapatkan perbicaraan semula yang adil.






#Jeffrey Epstein #imej #rumah peribadi #Epstein Files Transparency Act