Skip to main content

Dunia

IMF beri amaran lonjakan harga tenaga berterusan boleh tingkatkan inflasi

41673624951_IMF.jpg
Jurucakap IMF Julie Kozack menyatakan gangguan besar sudah mula kelihatan.. - Gambar fail/Agensi

ISTANBUL: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Khamis berkata kenaikan harga tenaga yang berterusan susulan konflik di Asia Barat boleh meningkatkan inflasi global dan menjejaskan output ekonomi.

Anadolu Ajansi melaporkan Jurucakap IMF Julie Kozack ketika bercakap kepada media berkata kesan ekonomi yang lebih luas sebahagian besarnya bergantung kepada tempoh dan tahap intensiti konflik itu.

Advertisement

Beliau berkata IMF sedang memantau tiga saluran utama, iaitu harga komoditi, inflasi dan jangkaan inflasi, serta keadaan kewangan.

Kozack menyatakan gangguan besar sudah mula kelihatan. Beliau berkata penutupan Selat Hormuz telah menjejaskan akses kepada 20 peratus bekalan minyak global serta aliran gas asli cecair (LNG) melalui laut, manakala kerosakan kepada infrastruktur tenaga di Teluk dan Iran turut mengganggu pengeluaran minyak dan gas.

Beliau berkata kesan terhadap harga komoditi bergantung kepada tempoh penutupan itu serta skala kerosakan terhadap kemudahan pengeluaran hidrokarbon di rantau berkenaan.

Menurut Kozack, harga minyak dan gas asli meningkat lebih 50 peratus dalam tempoh sebulan lalu, manakala gangguan penghantaran baja serta kesesakan pengangkutan yang lebih meluas turut meningkatkan risiko kenaikan harga makanan.

Beliau berkata harga tenaga yang kekal tinggi akan meningkatkan inflasi keseluruhan dan turut merebak kepada tekanan harga secara lebih meluas melalui kesan pusingan kedua, sekali gus menjadikan jangkaan inflasi sebagai aspek penting untuk dipantau.

Kozack berkata corak sejarah menunjukkan bahawa jika kenaikan harga minyak sebanyak 10 peratus berterusan sepanjang tahun ini, inflasi global keseluruhan boleh meningkat sekitar 40 mata asas, manakala output global boleh menurun antara 0.1 peratus hingga 0.2 peratus.

Beliau turut merujuk kepada keadaan kewangan yang semakin ketat, dengan pasaran saham global mencatatkan penurunan dan hasil bon meningkat di banyak ekonomi termasuk Amerika Syarikat, Britain dan Eropah. Trend sama turut dilihat dalam ekonomi membangun, apabila turun naik meningkat, dolar AS mengukuh dan beberapa mata wang lain menyusut.

Kozack berkata IMF akan menyediakan kemas kini yang lebih menyeluruh mengenai prospek global, serantau dan negara dalam laporan Tinjauan Ekonomi Dunia yang dijadual diterbitkan pada April.

Mengenai kesan serantau, beliau berkata penilaian awal IMF menunjukkan pertumbuhan yang lebih lemah di negara Teluk.

Walaupun harga tenaga yang lebih tinggi sebahagiannya atau sepenuhnya dapat mengimbangi output yang lebih rendah di sesetengah negara, bergantung pada seberapa cepat eksport disambung semula, katanya, imbangan fiskal dan luaran serantau berkemungkinan akan menghadapi tekanan.

Beliau menambah kebanyakan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) masih mempunyai penampan dasar yang kukuh dan telah memperkukuh daya tahan dalam beberapa tahun kebelakangan ini melalui pembaharuan, usaha kepelbagaian ekonomi serta penambahbaikan logistik.

Mengenai dasar monetari, beliau berkata bank pusat perlu terus peka terhadap implikasi inflasi susulan kenaikan harga tenaga, khususnya kesannya terhadap jangkaan inflasi.

Kozack turut berkata IMF kekal berhubung rapat dengan negara anggota. Setakat ini, tiada permohonan rasmi bagi pembiayaan kecemasan diterima, namun IMF bersedia menggunakan semua instrumen yang ada untuk menyokong negara anggota mengikut perkembangan keadaan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video