DUNIA
IMF naik taraf jangkaan pertumbuhan global dalam unjuran terbaharu

Ramalan 2025 adalah 0.2 mata peratusan lebih tinggi dan unjuran 2026 adalah 0.1 mata peratusan lebih baik berbanding jangkaan rujukan WEO April 2025. - Gambar Reuters
KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi global dijangka mencapai 3.0 peratus pada 2025 dan 3.1 peratus menjelang 2026, di atas jangkaan rujukan dalam Unjuran Ekonomi Dunia (WEO) April 2025, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Julai 2025 yang dikeluarkan pada Selasa.
Bertajuk "Ekonomi Global: Ketahanan yang Kecil berikutan Ketidakpastian yang Berterusan," laporan IMF menyatakan ramalan 2025 adalah 0.2 mata peratusan lebih tinggi dan unjuran 2026 adalah 0.1 mata peratusan lebih baik berbanding jangkaan rujukan WEO April 2025.
"Ini mencerminkan pemuatan depan yang lebih kukuh daripada unjuran dengan jangkaan tarif yang lebih tinggi, penguatkuasaan kadar purata tarif Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah daripada yang diumumkan, keadaan kewangan yang lebih baik yang didorong sebahagiannya oleh kelemahan dolar US serta pengembangan fiskal dalam beberapa ekonomi utama," kata laporan itu.
IMF juga menjangkakan, inflasi utama global akan menurun kepada 4.2 peratus pada tahun ini dan 3.6 peratus pada 2026, berikutan trajektori secara meluas selaras dengan unjuran April."Gambaran keseluruhan menutupi perbezaan silang negara yang signifikan, dengan inflasi AS dijangka kekal di atas sasaran selain lebih rendah dalam ekonomi utama yang lain. Risiko kepada prospek tetap condong ke bawah seperti yang dinyatakan pada April 2025," kata laporan itu dengan amaran bahawa peningkatan semula dalam kadar tarif akan merencatkan pertumbuhan.
Menurut IMF, ketidakpastian yang tinggi mungkin boleh memberi kesan ke atas aktiviti memandangkan tarikh akhir untuk tarif tambahan akan tamat tanpa sebarang kemajuan pada perjanjian yang besar dan tetap.
"Ketegangan geopolitik juga dapat mengganggu rantaian bekalan global dan memacu harga komoditi.
"Sementara itu, defisit fiskal yang lebih besar atau peningkatan pengelakan risiko dapat meningkatkan kadar faedah jangka panjang dan mengekang persekitaran kewangan global," katanya.
Digabungkan dengan kebimbangan pemecahan, IMF berkata, ini boleh mendorong keadaan turun naik di pasaran kewangan.
"Disisi yang lebih positif, pertumbuhan global dapat dirangsang jika rundingan perdagangan membawa kepada rangka kerja yang boleh diramal dan penurunan tarif.
"Apa-apa dasar pun perlu membawa keyakinan kembali, mampan, boleh dijangkakan dan menenangkan ketegangan, pengekalan harga serta kestabilan kewangan, memulihkan ruang penampan fiskal, dan melaksanakan pembaharuan struktur yang sangat diperlukan," katanya lagi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami