DUNIA

IMF pertimbang permohonan bantuan kecemasan AS$200 juta Sri Lanka selepas bencana siklon

Bernama 06/12/2025 | 05:30 MYT
Di Sri Lanka, angka korban akibat Siklon Ditwah meningkat kepada 607 orang, dengan 214 masih hilang sejak ribut itu melanda pada 17 Nov. - Foto Reuters
ANKARA: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata pada Jumaat pihaknya sedang meneliti permohonan Sri Lanka untuk pembiayaan kecemasan berjumlah AS$200 juta susulan kemusnahan akibat Siklon Ditwah, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Ringkasan AI
  • IMF meneliti permohonan Sri Lanka untuk pembiayaan kecemasan berjumlah US$200 juta susulan kemusnahan akibat Siklon Ditwah.
  • Sri Lanka memohon bantuan kewangan sebanyak 150.5 juta Hak Pengeluaran Khas (SDR) daripada IMF untuk mengatasi impak bencana tersebut.
  • IMF komited menyokong Sri Lanka dalam usaha pemulihan dan pengukuhan daya tahan negara itu selepas krisis akibat siklon yang melanda.


Ketua Misi IMF bagi Sri Lanka Evan Papageorgiou berkata dalam satu kenyataan bahawa Kerajaan Sri Lanka telah memohon bantuan kewangan di bawah Instrumen Pembiayaan Pantas (RFI) berjumlah 150.5 juta Hak Pengeluaran Khas (SDR), bersamaan kira-kira 26 peratus kouta IMF negara itu atau sekitar AS$200 juta.

"Permohonan itu kini sedang dipertimbangkan dan tertakluk kepada kelulusan Lembaga Eksekutif IMF," kata Papageorgiou menurut kenyataan itu.

Siklon yang melanda negara pulau berkenaan awal minggu ini membawa kemusnahan besar serta mencetuskan cabaran kemanusiaan dan ekonomi yang ketara.

"Susulan impak dahsyat dan kemusnahan meluas yang dicetuskan oleh Siklon Ditwah, kami merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Sri Lanka," kata Papageorgiou.

IMF turut mengulangi komitmennya terhadap usaha pemulihan serta pengukuhan daya tahan masa depan negara itu.

"IMF kekal berhubung rapat dengan pihak berkuasa Sri Lanka dalam tempoh mencabar ini dan komited menyokong negara itu ketika ia melaksanakan usaha mendesak untuk pulih, membina semula dan meningkatkan ketahanan pada masa depan," menurut kenyataan itu.

RFI direka untuk menyediakan bantuan kewangan segera kepada negara anggota yang berdepan keperluan mendesak imbangan pembayaran, termasuk yang berpunca daripada bencana alam.

Kelulusan Lembaga Eksekutif IMF diperlukan sebelum dana boleh disalurkan.

Di Sri Lanka, angka korban akibat Siklon Ditwah meningkat kepada 607 orang, dengan 214 masih hilang sejak ribut itu melanda pada 17 Nov, menurut laporan Pusat Pengurusan Bencana negara itu pada Jumaat.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata sekurang-kurangnya 185 orang terbunuh di selatan Thailand, manakala 367 lagi masih hilang. Empat kematian dilaporkan di India dan tiga di Malaysia susulan cuaca buruk.

-- BERNAMA




#Sri Lanka #IMF #bencana siklon #banjir