DUNIA

IMF ramal kelembapan ekonomi global, pasaran buruh mengendur

Bernama 16/10/2025 | 21:40 MYT
Menurut Georgieva, inflasi dijangka menurun secara global, meskipun terdapat variasi ketara antara negara. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan berlakunya kelembapan dalam kegiatan ekonomi global serta pengenduran pasaran buruh di seluruh dunia, kata Pengarah Urusannya, Kristalina Georgieva pada Khamis, lapor Sputnik/RIA Novosti.

"Lonjakan awal pelaburan dan perdagangan sebelum tarif lebih tinggi dikuatkuasakan telah merangsang pertumbuhan global pada separuh pertama tahun ini.

" Namun, apabila kesan sementara ini pudar, kegiatan ekonomi semakin perlahan dan pasaran buruh turut mengendur. Pertumbuhan global kini dijangka susut kepada 3.2 peratus tahun ini, berbanding 3.3 peratus pada 2024," kata Georgieva dalam laporan Agenda Dasar Global.

Beliau menambah, inflasi dijangka menurun secara global, meskipun terdapat variasi ketara antara negara.

"Penyerapan tarif terhadap harga pengguna di Amerika Syarikat yang sebelum ini sederhana kini semakin berkemungkinan berlaku. Sebaliknya, kebanyakan negara lain berdepan kejutan permintaan negatif yang mengekang inflasi," katanya.

Georgieva menggesa Bank Pusat mengekalkan kestabilan harga selaras dengan mandat mereka, di samping menyeru pembuat dasar bertindak tegas untuk membuka ruang kepada pertumbuhan yang dipacu sektor swasta.

Beliau turut memberi amaran bahawa peningkatan langkah perlindungan perdagangan dan gangguan bekalan tenaga kerja boleh menjejaskan pertumbuhan global.

"Ketidaktentuan meningkatkan lagi risiko terhadap prospek ekonomi. Kenaikan berterusan dalam perlindungan perdagangan serta gangguan tenaga kerja boleh menekan pertumbuhan," katanya.

Georgieva menekankan bahawa peningkatan risiko geopolitik dan polarisasi domestik menuntut pendekatan pengurusan risiko dalam dasar awam.

"Perang dan konflik bersenjata yang berterusan terus membawa kesan besar dari segi kemanusiaan dan ekonomi, sekali gus menambah lagi ketidaktentuan," katanya.

Namun, beliau turut menyatakan bahawa perubahan dasar utama dalam bidang seperti perdagangan, wang digital, imigresen dan keselamatan negara juga menawarkan peluang baharu - termasuk membina rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan serta mempelbagaikan hubungan perdagangan.

-- BERNAMA




#IMF #kelembapan ekonomi global #pasaran buruh mengendur #Kristalina Georgieva