DUNIA

Imigran wakili lebih 5 peratus penduduk Korea Selatan pada 2024

Bernama 08/12/2025 | 09:45 MYT
Warga Korea Selatan menyumbang 24.8 peratus atau 672,000 orang daripada jumlah populasi dengan latar belakang migrasi pada 2024, manakala warga asing membentuk baki 75.2 peratus atau 2.04 juta orang. - AP
SEOUL: Individu yang mempunyai latar belakang migrasi membentuk lebih lima peratus daripada jumlah penduduk Korea Selatan pada 2024, menunjukkan sedikit peningkatan berbanding tahun sebelumnya, menurut data kerajaan yang dikeluarkan pada Isnin, lapor Agensi Berita Yonhap.

Setakat 1 Nov 2024, terdapat 2.72 juta individu dengan latar belakang migrasi di Korea, merangkumi 5.2 peratus daripada jumlah penduduk negara itu, menurut Kementerian Statistik dan Data.

Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.3 mata peratusan berbanding jumlah direkodkan pada 2023.

Ini menandakan kali pertama kementerian berkenaan mengeluarkan tinjauan bancian berasaskan pendaftaran mengenai penduduk dengan latar belakang migrasi.

Warga Korea Selatan menyumbang 24.8 peratus atau 672,000 orang daripada jumlah populasi dengan latar belakang migrasi pada 2024, manakala warga asing membentuk baki 75.2 peratus atau 2.04 juta orang.

Daripada jumlah warga Korea yang mempunyai latar belakang sedemikian, 381,000 merupakan generasi kedua imigran, manakala 245,000 lagi ialah warganegara yang dinaturalisasikan atau mereka yang diiktiraf sebagai warganegara.

Mengikut jantina, 52.5 peratus daripada populasi migrasi adalah lelaki manakala 47.5 peratus lagi adalah wanita.

Mengikut umur, mereka dalam lingkungan 30-an menyumbang 24.3 peratus daripada populasi migrasi, diikuti 20-an (21 peratus), 40-an (15.4 peratus) dan 50-an (11.6 peratus).

Populasi usia bekerja, iaitu mereka yang berumur antara 15 hingga 64 tahun merangkumi 81.9 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala mereka berumur 14 tahun ke bawah membentuk 12.7 peratus, dan warga emas berumur 65 tahun ke atas pula mencatat 5.5 peratus.

Sementara itu, terdapat 738,000 kanak-kanak dan remaja berumur 24 tahun ke bawah dengan latar belakang migrasi tahun lalu, meningkat 7.9 peratus berbanding 2023.

Daripada 738,000 kanak-kanak dan remaja itu, sebanyak 27.2 peratus mempunyai ibu bapa warga Vietnam, 16.5 peratus mempunyai ibu bapa warga China dan 12 peratus pula mempunyai ibu bapa warga China berketurunan Korea.

Data turut menunjukkan hampir 57 peratus daripada mereka yang berhijrah ke Korea tinggal di kawasan metropolitan Seoul, merangkumi ibu negara itu, Wilayah Gyeonggi dan Incheon.

Kira-kira 10.6 peratus tinggal di wilayah tengah Chungcheong, 9.3 peratus lagi di wilayah tenggara Gyeongsang dan 6.3 peratus di wilayah tenggara Jeolla.

-- BERNAMA

#imigran #Korea Selatan #bancian #jumlah penduduk