Indahnya iftar di Stadium Stamford Bridge

Agensi
Mac 27, 2023 14:00 MYT
Laungan Azan berkumandang di Stadium Stamford Bridge menandakan masuknya waktu berbuka puasa pada acara Open Iftar yang berlangsung semalam (Ahad). - Gambar Twitter @OpenIftar
RAMADAN tidak hadir semata-mata menuntut umat Islam menahan diri daripada lapar dan dahaga.
Bulan penuh keberkatan itu seharusnya dilihat dari perspektif yang meluas termasuk dalam segenap aspek kehidupan manusia.
Setiap kali hadirnya Ramadan, kita juga tidak akan terlepas daripada melihat keharmonian jelas terjalin kerana ia turut merentasi segenap batasan agama dan latar masyarakat lain di seluruh pelosok dunia yang akan sama-sama menghormati dan meraikannya.
Lalu, apabila Kelab Liga Perdana Inggeris Chelsea menganjurkan jamuan berbuka puasa buat julung kalinya di Stadium Stamford Bridge semalam (Ahad), acara itu menuntut renungan yang mendalam dalam kalangan seluruh masyarakat.

Looks like Stamford Bridge @ChelseaFC is not just a home for the Blues, but also a welcoming ground for all faiths. Hearing the Azhan at the Bridge is a true 'goal' for the Muslim community and a 'win' for football in promoting unity and diversity #OpenIftar #Ramadan2023 pic.twitter.com/xRf6ThxZmP

— Open Iftar (@OpenIftar) March 26, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Stadium berkenaan yang menjadi tuan rumah majlis iftar bukan hanya dihadiri umat Islam sebaliknya, turut menghimpunkan masyarakat yang memiliki fahaman agama yang berbeza.
Demikian juga dengan laungan azan menandakan waktu berbuka puasa dan solat Maghrib pada acara berkenaan menyentuh emosi.
Jamuan berbuka puasa atau dikenali sebagai Open Iftar itu dilaksanakan dengan kerjasama "Ramadan Tent Project," sebuah badan amal yang ditubuhkan pada 2013 dengan matlamat menyatukan masyarakat serta menerapkan pemahaman tentang bulan mulia itu.
Pengasas Ramadan Tent Project, Omar Salha berkata, tahun 2023 menandakan ulang tahun ke-10 projek itu.
Projek ini telah dimulakan oleh sekumpulan pelajar di SOAS University London untuk berkongsi juadah berbuka puasa bersama-sama dengan penuntut antarabangsa.
Salha berkata, badan amal itu akan menganjurkan majlis berbuka puasa di 10 bandar raya sepanjang
Ramadan termasuk di Birmingham, Manchester dan Cambridge serta London.
Beliau berkata, acara berbuka puasa di Dataran Trafalgar akan menjadi majlis iftar yang terbesar.
#Puasa 2023 #open iftar #Stadium Stamford Bridge #Ramadan 2023