DUNIA
India, Britain meterai perjanjian turunkan tarif, rangsang perdagangan

Kedua-dua negara menyasarkan untuk menggandakan nilai perdagangan tahunan dalam tempoh lima tahun daripada AS$56 bilion ketika ini. - Gambar Reuters
NEW DELHI: India dan Britain menjangkakan peningkatan pesat dalam perdagangan dua hala susulan pemeteraian perjanjian perdagangan bebas (FTA) di London pada Khamis.
Kadar tarif purata India ke atas produk dari United Kingdom (UK) seperti minuman ringan, kosmetik, kereta dan peranti perubatan akan diturunkan daripada 15 peratus kepada tiga peratus hasil Perjanjian Perdagangan dan Ekonomi Komprehensif (CETA), menurut kenyataan kerajaan Britain.
Perjanjian itu juga memberi akses bebas cukai kepada 99 peratus eksport India ke UK, merangkumi hampir keseluruhan bakul perdagangan, menurut Kementerian Perdagangan India.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Menteri Perdagangan dan Industri India, Piyush Goyal dan Setiausaha Negara UK bagi Perniagaan dan Perdagangan, Jonathan Reynolds, disaksikan oleh Perdana Menteri Narendra Modi dan Keir Starmer."Ia merangkumi komitmen bercita-cita tinggi dalam perdagangan barangan dan perkhidmatan merentasi pelbagai sektor, di samping mempertingkat mobiliti profesional India dengan memudahkan akses bagi penyedia perkhidmatan kontrak, pelawat perniagaan dan profesional bebas," menurut kenyataan India.
Kedua-dua negara menyasarkan untuk menggandakan nilai perdagangan tahunan dalam tempoh lima tahun daripada AS$56 bilion ketika ini.
Pengurangan tarif dan halangan kawal selia dijangka meningkatkan eksport UK ke India hampir 60 peratus dalam jangka panjang, bersamaan tambahan GBP15.7 bilion (US$21.25 bilion) eksport UK ke India berbanding unjuran perdagangan menjelang 2040, menurut kerajaan Britain.
Kerajaan itu juga berkata, perjanjian ini dijangka meningkatkan perdagangan dua hala hampir 39 peratus dalam jangka panjang, iaitu bersamaan GBP25.5 bilion (US$34.52 bilion) setahun berbanding unjuran perdagangan pada 2040 sekiranya FTA tidak dimeterai.
Sementara itu, kedua-dua pemimpin turut menandatangani Perkongsian Strategik dan Komprehensif yang diperbaharui, yang akan menyaksikan kerjasama lebih rapat dalam bidang pertahanan, pendidikan, iklim, teknologi dan inovasi.
India dan Britain turut menandakan ulang tahun pertama Inisiatif Keselamatan Teknologi mereka, yang melibatkan kerjasama dalam bidang seperti telekomunikasi, mineral kritikal, kecerdasan buatan (AI), kuantum, bioteknologi, bahan termaju dan semikonduktor.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami