HYDERABAD: India, Jepun dan Bangladesh menyertai beberapa negara lain pada Isnin menyambut baik persetujuan dicapai antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) untuk menghentikan permusuhan di semua barisan hadapan di Asia Barat.
AS dan Iran dijadual menandatangani satu perjanjian damai di Switzerland pada Jumaat ini, yang dicapai hasil usaha pengantaraan yang giat oleh Pakistan.
"India berharap persetujuan ini akan membantu memulihkan keamanan dan kestabilan di rantau itu serta memastikan kebebasan pelayaran dan perdagangan," kata Perdana Menteri Narendra Modi dalam hantaran di laman X beliau.
Modi berkata, konflik di Asia Barat telah "menyebabkan gangguan ekonomi yang serius di seluruh dunia dan mengakibatkan kehilangan nyawa di banyak negara."
Bangladesh pula berharap "perjanjian itu akan dilaksanakan dengan niat yang baik serta terbukti bertahan lama dan mampan", menurut kenyataan Kementerian Luar negara itu.
"Bangladesh secara konsisten menggesa agar ketegangan diredakan dan konflik diselesaikan melalui dialog serta diplomasi, dan amat menghargai usaha semua pihak serta pemudah cara yang menyumbang kepada perkembangan positif ini," menurut kenyataan itu.
Dunia menarik nafas lega berikutan pertumpahan darah dan gangguan ekonomi, terutamanya ancaman terhadap aliran tenaga melalui Selat Hormuz, mungkin akan berakhir.
"Kedua-dua pihak telah mengisytiharkan penamatan segera dan kekal operasi ketenteraan di semua barisan hadapan, termasuk di Lubnan," kata Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif pada Ahad malam.
Pakistan mengucapkan terima kasih kepada Arab Saudi, Qatar dan Turkiye atas "sumbangan besar" mereka terhadap peranan pengantaraan negara itu, yang menyaksikan pemimpin tertinggi Pakistan mengadakan rundingan di peringkat tertinggi dengan Tehran dan Washington untuk menamatkan konflik berkenaan, yang bermula apabila AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari lepas.
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam satu kenyataan menyatakan harapan agar perjanjian itu "dapat dilaksanakan sepenuhnya dan pihak-pihak berkenaan akan mengambil bahagian secara serius dalam pusingan rundingan akan datang bagi menangani semua isu serta mengekalkan keselamatan dan kestabilan di rantau ini."
Sementara itu, Menteri Luar Jepun, Toshimitsu Motegi telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar bagi menyatakan "penghormatan yang tinggi atas usaha pengantaraan proaktif Pakistan sehingga membawa kepada pesetujuan berkenaan".
Motegi menekankan "kepentingan pelaksanaan yang mantap" terhadap memorandum persefahaman (MoU) yang dicapai antara AS dan Iran, menurut kenyataan Kementerian Luar Jepun.
"Selepas ini, Jepun amat berharap agar melalui pelaksanaan MoU yang mantap ini, pelayaran bebas dan selamat melalui Selat Hormuz dapat dipastikan, dan perjanjian akhir mengenai isu nuklear Iran serta perkara-perkara lain akan dicapai secepat mungkin," menurut kenyataan itu.
Rejim Zionis Israel dilihat sebagai pengacau utama dalam proses damai berkenaan, namun Iran menegaskan ia akan mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah Lubnan.
Iran "akan melumpuhkan tindakan gila dan menghasut untuk berperang" oleh rejim Israel, kata perunding utama dalam proses damai itu, Mohammad Bagher Ghalibaf dalam hantaran di media sosial pada Ahad.
-- BERNAMA