DUNIA
India kekal beli minyak Rusia meskipun diugut Trump – Sumber kerajaan

Sebagai pengimport dan pengguna minyak ketiga terbesar dunia, India menerima kira-kira 1.75 juta tong minyak sehari dari Rusia bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini – meningkat 1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. - Gambar hiasan
NEW DELHI: India akan terus membeli minyak dari Rusia meskipun berdepan ancaman penalti daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menurut dua sumber kerajaan India yang enggan dikenali kerana sensitiviti isu berkenaan.
“Kontrak ini adalah jangka panjang,” kata salah seorang sumber. “Ia bukan sesuatu yang boleh dihentikan serta-merta.”
Bulan lalu, Trump menerusi hantaran di Truth Social memberi peringatan India bakal dikenakan penalti tambahan sekiranya terus membeli minyak dan senjata dari Rusia.
Pada Jumaat (1 Ogos), Trump turut memberitahu media, beliau difahamkan India tidak lagi membeli minyak dari Rusia.Namun begitu, akhbar The New York Times pada Sabtu memetik dua pegawai kanan India yang tidak dinamakan menyatakan tiada perubahan dasar kerajaan berhubung pembelian minyak dari Rusia, dengan salah seorang daripada mereka menegaskan bahawa kerajaan “tidak pernah mengarahkan syarikat minyak supaya mengurangkan import dari Rusia.”
Laporan Reuters sebelum ini turut memetik sumber yang mengatakan penapisan milik kerajaan India mula menghentikan pembelian minyak Rusia minggu lalu selepas diskaun yang ditawarkan semakin mengecil sejak Julai.
Hubungan kukuh dan konsisten dengan Rusia
Jurucakap Kementerian Luar India, Randhir Jaiswal dalam sidang media mingguan berkata, keputusan pembelian tenaga oleh India bergantung kepada penawaran pasaran dan keadaan semasa global.
“Kita mempunyai hubungan yang kukuh dan konsisten dengan Rusia,” katanya sambil menegaskan bahawa hubungan luar India dengan mana-mana negara adalah berdasarkan merit dan tidak seharusnya dinilai melalui lensa negara ketiga.
Setakat ini, White House belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.
Sumber sebelum ini memaklumkan, India mengurangkan pembelian minyak mentah Rusia berikutan diskaun yang kian menyusut – terendah sejak sekatan Barat mula dikenakan ke atas Moscow pada 2022 – didorong oleh pengurangan eksport Rusia dan permintaan global yang stabil.
Empat syarikat utama penapis India – Indian Oil Corp, Hindustan Petroleum Corp, Bharat Petroleum Corp dan Mangalore Refinery Petrochemical Ltd – dilaporkan tidak membuat sebarang permintaan minyak mentah Rusia dalam tempoh seminggu kebelakangan ini, menurut empat sumber yang mengetahui rancangan pembelian tersebut.
Ugutan tarif 100 peratus
Pada 14 Julai lalu, Trump mengugut untuk mengenakan tarif 100 peratus terhadap mana-mana negara yang terus membeli minyak dari Rusia sekiranya Moscow gagal memeterai perjanjian damai dengan Ukraine.
Rusia kekal sebagai pembekal minyak utama kepada India sepanjang enam bulan pertama 2025, merangkumi sekitar 35 peratus daripada keseluruhan bekalan minyak India, diikuti Iraq, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sebagai pengimport dan pengguna minyak ketiga terbesar dunia, India menerima kira-kira 1.75 juta tong minyak sehari dari Rusia bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini – meningkat 1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut data yang diperoleh Reuters.
Syarikat Nayara Energy, antara pembeli utama minyak Rusia, baru-baru ini dikenakan sekatan oleh Kesatuan Eropah kerana dimiliki majoriti oleh entiti Rusia, termasuk syarikat minyak gergasi Rosneft.
Bulan lalu, Reuters melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif Nayara telah meletak jawatan susulan sekatan EU tersebut, dan tempatnya kini diisi oleh Sergey Denisov, veteran dalam syarikat itu.
Tiga kapal tangki milik Nayara Energy juga dilaporkan masih belum membongkar muatan mereka akibat sekatan baharu EU terhadap syarikat penapis yang disokong Rusia itu. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami