India keluar semula visa untuk warga Kanada

Bernama
Oktober 26, 2023 03:10 MYT
Hubungan kedua-dua negara dingin selepas Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau menuduh kerajaan India terbabit dalam kes pembunuhan seorang warga Kanada yang didakwa pemisah Sikh.
NEW YORK: India akan mengeluarkan semula visa kepada warga Kanada selepas menggantung perkhidmatan itu sejak September, lapor Xinhua.
"Selepas meneliti semula situasi keselamatan dan mengambil kira langkah yang diambil Kanada baru-baru ini, pihak kami memutuskan untuk menyambung semula perkhidmatan visa kemasukan, perniagaan, perubatan dan persidangan.
"Keadaan itu akan terus dipantau Suruhanjaya Tinggi dan Konsulat Jeneral seperti yang sedang dilakukan pada masa ini. Keputusan seterusnya bergantung kepada keadaan," kata Suruhanjaya Tinggi India di Ottawa dalam satu kenyataan.
India menggantung pengeluaran visa itu susulan kes pembunuhan seorang warga Kanada yang didakwa pemisah Sikh.
Hubungan kedua-dua negara dingin selepas Perdana Menteri Justin Trudeau menuduh kerajaan India terbabit dalam kes itu.
Pada Oktober seramai 41 diplomat Kanada meninggalkan India atas permintaan New Delhi kerana bimbang wujud "campur tangan" dalam hal ehwal negara itu, lapor penyiar Kanada CBC.
-- BERNAMA
#India #Kanada #Visa