India, Oman tandatangan perjanjian perdagangan bebas

Oman menawarkan akses tanpa duti bagi 98 barisan tarifnya, meliputi 99.3 peratus eksport India ke Oman di bawah Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA).
NEW DELHI: India dan Oman telah menandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA) bagi memperluas perkongsian ekonomi kedua-dua negara secara signifikan.
Oman menawarkan akses tanpa duti bagi 98 barisan tarifnya, meliputi 99.3 peratus eksport India ke Oman di bawah Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) yang dimeterai pada Khamis, menurut Kementerian Perdagangan India dalam satu kenyataan.
Kementerian itu berkata India pula menawarkan liberalisasi tarif ke atas 77.8 peratus daripada keseluruhan barisan tarifnya, meliputi 94.8 peratus import India dari Oman mengikut nilai, namun produk "sensitif" seperti tenusu, teh, kopi, getah, produk tembakau, jongkong emas serta barang kemas dikekalkan dalam "kategori pengecualian".
India juga tidak menawarkan konsesi kepada Oman bagi produk intensif buruh seperti kasut dan barangan sukan, serta skrap daripada pelbagai logam asas.
Perjanjian perdagangan bebas itu ditandatangani oleh Menteri Perdagangan India Piyush Goyal dan rakan sejawatannya dari Oman, Qais Bin Mohammed Al Yousef, ketika Perdana Menteri India Narendra Modi melakukan lawatan ke negara Teluk itu, yang mempunyai hubungan akrab sejak sekian lama dengan India.
Jumlah perdagangan dua hala tahunan kedua-dua negara bernilai US$10 bilion, manakala India menerima US$2 bilion dalam bentuk kiriman wang dari Oman, yang menempatkan komuniti ekspatriat India seramai kira-kira 700,000 orang.
Menurut Kementerian Perdagangan India, CEPA itu turut menawarkan "syarat kemasukan dan tempoh tinggal yang lebih liberal" kepada warga India dalam sektor utama seperti perakaunan, percukaian, seni bina dan perkhidmatan perubatan.
Ia juga membenarkan 100 peratus pelaburan langsung asing oleh syarikat India dalam "sektor perkhidmatan utama di Oman melalui kehadiran komersial, sekali gus membuka ruang luas kepada industri perkhidmatan India untuk mengembangkan operasi di rantau berkenaan."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


