INTERNATIONAL
Individu tertua meninggal dunia pada usia 116 tahun
Dilahirkan pada 8 Jun 1908 di negeri Rio Grande do Sul, Brazil, Sister Inah mengabdikan hidupnya kepada agama dan pendidikan. - Foto X/David Carroll
PORTO ALEGRE: Sister Inah Canabarro Lucas, biarawati Brazil yang diiktiraf sebagai individu tertua di dunia, telah meninggal dunia pada usia 116 tahun.
Dilahirkan pada 8 Jun 1908 di negeri Rio Grande do Sul, Brazil, Sister Inah mengabdikan hidupnya kepada agama dan pendidikan.
Mendiang menjadi biarawati Katolik pada awal usia 20-an dan mengajar mata pelajaran Portugis serta matematik di sekolah di Rio de Janeiro.
Selain dedikasi kepada kepercayaan dan pendidikan, Sister Inah juga dikenali sebagai peminat tegar bola sepak.
Setiap tahun, mendiang meraikan hari lahirnya dengan kek berbentuk stadium pasukan kegemarannya, Sport Club Internacional, yang berpangkalan di Porto Alegre.
Pada ulang tahunnya yang ke-116, mendiang mengenakan selendang pasukan tersebut sebagai tanda sokongan.
Sister Inah pernah menerima berkat daripada Pope Francis pada tahun 2018 dan mengaitkan umur panjangnya dengan kepercayaan kepada Tuhan.
“Dialah rahsia kehidupan,” katanya dalam satu wawancara.
Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada Rabu di rumah kediaman komuniti Teresian Sisters, tempat beliau menetap selama bertahun-tahun.
Keluarganya menyatakan bahawa mendiang tidak mengalami sebarang penyakit serius, tetapi tubuhnya secara perlahan-lahan berhenti berfungsi.
Dengan pemergian Sister Inah, gelaran individu tertua di dunia kini beralih kepada Ethel Caterham dari Surrey, England, yang berusia 115 tahun.
Sport Club Internacional turut mengeluarkan kenyataan takziah dengan berita pemergian Sister Inah dan menghargai kehidupannya yang penuh dengan kebaikan, keimanan, dan kecintaan terhadap bola sepak.