INTERNATIONAL
Indonesia akan adakan perbincangan perdagangan dengan AS berkaitan tarif

Menteri Luar Sugiono akan berlepas ke Washington DC pada Isnin, dan beliau akan diiringi oleh beberapa pegawai lain. - Instagram / Sugiono
JAKARTA: Indonesia sedang membuat persiapan untuk mengadakan rundingan peringkat tinggi dengan pegawai Amerika Syarikat (AS) pada penghujung bulan ini bagi membincangkan kadar tarif baharu yang dikenakan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump pada 2 April lalu serta memperkukuh hubungan ekonomi dua hala.
Mesyuarat yang dijadualkan berlangsung di Washington DC dari 16 hingga 23 April itu dianggap penting dalam konteks hubungan dua hala semasa, ketika Indonesia berusaha menyelesaikan pertikaian tarif yang sedang berlaku dan mempereratkan lagi hubungan ekonomi dengan AS.
Delegasi Indonesia, yang akan turut disertai oleh menteri kanan dan Pengerusi Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan (OJK) Mahendra Siregar, dijangka mengemukakan pendirian menyeluruh berhubung tarif, halangan bukan tarif serta kerjasama yang lebih meluas dalam bidang perdagangan dan kewangan.
"Kami akan membincangkan semua isu berkaitan, dan kami telah menyediakan dokumen bukan rasmi terperinci termasuk rancangan untuk mengimbangi jurang eksport-import yang dianggarkan antara US$18 bilion hingga AS$19 bilion," kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Airlangga Hartarto pada sidang media di sini.Dengan tarif sebanyak 32 peratus ke atas barangan tertentu masih membebani eksport Indonesia, beliau menekankan kepentingan rundingan itu, sambil menjelaskan bahawa negara itu berhasrat menarik pelaburan dari AS di samping menggalakkan syarikat Indonesia meneroka peluang di pasaran Amerika.
"Pada peringkat teknikal, komoditi telah dikenal pasti. Akhirnya, segala-galanya bergantung kepada hasil perbincangan nanti," tambahnya.
Delegasi yang dilantik oleh Presiden Prabowo Subianto itu akan bertemu dengan pegawai utama AS termasuk Wakil Perdagangan AS, Setiausaha Perdagangan dan Setiausaha Negara.
Airlangga mengesahkan bahawa Menteri Luar Sugiono akan berlepas ke Washington DC pada Isnin. Beliau akan diiringi oleh beberapa pegawai lain termasuk Naib Pengerusi Majlis Ekonomi Negara Mari Elka Pangestu, Timbalan Menteri Kewangan Thomas Djiwandono, dan Timbalan Menteri Luar Arrmanatha Nasir.
Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati, yang akan menghadiri Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, juga akan menyertai rundingan tersebut sebagai sebahagian daripada delegasi.
Rundingan ini penting dalam menentukan masa depan hubungan perdagangan Indonesia-AS, khususnya memandangkan Indonesia merupakan antara negara terawal yang dijemput ke Washington untuk berbincang sejak isu tarif itu bermula, tambah Airlangga.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami