Skip to main content

Dunia

Indonesia alu-alukan pelabur asing, tegaskan kedaulatan undang-undang untuk perniagaan - Prabowo

 Indonesian President Prabowo Subianto attends the 56th annual World Economic Forum (WEF) meeting in Davos, Switzerland, January 22, 2026. REUTERS/Denis Balibouse/File Photo
Prabowo Subianto kekal komited untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perniagaan dan usahawan, termasuk menerusi penguatkuasaan kedaulatan undang-undang. - Gambar fail/Reuters

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pada Rabu menolak dakwaan bahawa pentadbirannya cuba mengusir pelabur asing, sebaliknya menegaskan, ramai pelabur antarabangsa yang masih berminat untuk memasuki pasaran negara itu.

Beliau berkata, pihak kerajaan kekal komited untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perniagaan dan usahawan, termasuk menerusi penguatkuasaan kedaulatan undang-undang.

"Ada pihak mendakwa Prabowo tidak menyukai pelabur asing. Ternyata perkara itu tidak benar. Saya telah bertemu dengan ramai pelabur yang berhasrat untuk masuk (melabur)," katanya ketika berucap pada Kongres Nasional ke-18 Himpunan Pengusaha Muda Indonesia (HIPMI) di Lampung, pada Rabu.

Prabowo berkata, usahawan merupakan pemacu utama kepada kebangkitan sesebuah negara kerana mereka bertanggungjawab mewujudkan peluang pekerjaan dan kerajaan memikul tanggungjawab untuk menyediakan keadaan yang membolehkan sektor perniagaan terus berkembang.

"Sebahagian daripada usaha mewujudkan keadaan yang baik itu adalah kita mesti menegakkan kedaulatan undang-undang. Jika kita tidak menegakkan undang-undang, yang akan wujud ialah undang-undang rimba, tiada undang-undang. Apa yang akan bermaharajalela ialah peraturan berasaskan kekuatan semata-mata," katanya.

Prabowo turut mengetengahkan kemajuan Indonesia ke arah sara diri dalam sektor makanan dan tenaga. Beliau memaklumkan negara itu telah mencapai tahap sara diri makanan dan berada di landasan yang tepat untuk memperkukuh sektor tenaganya dalam tempoh tiga tahun, di samping terus memacu program perindustrian menerusi pemprosesan hiliran komoditi.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement