[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Indonesia anggap BRICS sebagai tonggak kekuatan dalam dunia bergolak

Bernama 09/09/2025 | 07:50 MYT
Prabowo menggesa agar kerjasama dan koordinasi dalam kalangan negara BRICS diperkukuh, ketika dunia berdepan ketidakstabilan meluas dan amalan multilateralisme semakin tercabar. - Gambar/ Reuters
JAKARTA: Presiden Prabowo Subianto mengesahkan sokongan Indonesia terhadap BRICS dengan menyifatkan blok itu sebagai tonggak kekuatan di tengah-tengah ketidaktentuan global yang semakin meningkat.

Beliau menekankan skala dan pengaruh BRICS, dengan anggotanya merangkumi lebih 55 peratus populasi dunia serta menyumbang lebih 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

"Indonesia menganggap BRICS sebagai tonggak kestabilan dan harapan yang amat kukuh dalam situasi geopolitik antarabangsa semasa," katanya pada Mesyuarat Maya Pemimpin BRICS malam Isnin.

Prabowo menggesa agar kerjasama dan koordinasi dalam kalangan negara BRICS diperkukuh, ketika dunia berdepan ketidakstabilan meluas dan amalan multilateralisme semakin tercabar.

"BRICS menghimpunkan ekonomi terbesar, populasi terbesar, pasaran luas serta negara yang kaya dengan sumber asli kritikal.

"Justeru, BRICS sedang muncul sebagai satu tonggak kekuatan," katanya.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif yang dikemukakan China dengan menegaskan kepentingan keterbukaan, pematuhan undang-undang antarabangsa dan perundingan bersama.

Prabowo berkata dalam dunia hari ini, apabila prinsip 'kuasa menentukan kebenaran' mendominasi, negara kecil berisiko berdepan ancaman atau paksaan ekonomi, manakala perdagangan serta kewangan semakin digunakan sebagai senjata.

"Kami berpendapat kini adalah masa untuk BRICS terus berkembang," kata beliau.

Menurut kenyataan Sekretariat Presiden Indonesia, mesyuarat maya itu dihadiri pemimpin dan wakil kanan negara anggota BRICS bagi membincangkan isu global yang menjadi kepentingan bersama.

Antara yang hadir ialah Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, Presiden China Xi Jinping, Presiden Mesir Abdul Fattah El-Sisi, Presiden Iran Masoud Pezeshkian, Presiden Rusia Vladimir Putin, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed, Menteri Luar Ethiopia Gedion Timothewos, serta Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar.

-- BERNAMA





#Indonesia #BRICS #Prabowo Subianto