Indonesia capai tahap sara diri beras - Prabowo

Prabowo berkata pencapaian itu merupakan sasaran strategik nasional yang pada mulanya ditetapkan untuk dicapai dalam tempoh empat tahun, namun berjaya direalisasikan dalam tempoh setahun sahaja. - Gambar/ Reuters
JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengumumkan bahawa Indonesia secara rasmi telah mencapai tahap sara diri beras setakat 31 Disember 2025.
Ringkasan AI
- Indonesia mencapai tahap sara diri beras pada 31 Disember 2025, satu tahun lebih awal daripada sasaran asal empat tahun yang ditetapkan.
- Prabowo Subianto menekankan kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua pihak dan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sektor pertanian serta meningkatkan kebajikan petani.
- Presiden Indonesia juga menyeru kepada perpaduan nasional dan kerjasama rakyat untuk mewujudkan negara maju, berdaulat, dan makmur.
Prabowo mengumumkan perkara itu dalam ucapannya sebelum merasmikan sambutan Krismas Peringkat Kebangsaan di Arena Tenis Tertutup Senayan, di sini, Isnin malam.
Beliau berkata kerajaan komited untuk mengekalkan kemampanan tahap sara diri beras dengan memperkukuh sektor pertanian, meningkatkan kebajikan petani serta memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi menjamin keterjaminan makanan negara yang mampan.
Dalam semangat sambutan Krismas, ketua negara itu turut menyeru perpaduan nasional dan kerjasama daripada rakyat dalam merealisasikan aspirasi Indonesia menjadi sebuah negara maju, berdaulat dan makmur untuk seluruh rakyatnya.
"Saya sentiasa mahu mengajak semua orang, tanpa mengira perbezaan kita, tanpa mengira apa jua dosa yang mungkin kita lakukan pada masa lalu kerana kita hanyalah manusia yang penuh dengan kekurangan dan kesilapan. Namun sekarang, kita harus bekerjasama, kita mesti bersatu dan saling berganding bahu.
"Yang kuat harus membantu yang lemah, yang lemah harus bersatu dalam kerjasama. Bertandinglah secara adil, tetapi setelah persaingan tamat, bersatulah semula," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


