Ringkasan AI
- OJK Indonesia menegaskan keutamaan reformasi pasaran modal untuk meningkatkan kualiti pasaran dan keyakinan pelabur susulan penilaian semula status MSCI.
- MSCI sedang menilai semula klasifikasi Indonesia, dengan keputusan muktamad dijangka pada 30 Jun 2027 selepas proses perundingan dan maklum balas.
- OJK melaksanakan agenda reformasi lapan perkara, termasuk peningkatan pegangan saham apungan bebas minimum dan ketelusan pemilikan benefisial.
JAKARTA: Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan (OJK) Indonesia menyatakan keutamaan utamanya adalah memastikan reformasi pasaran modal memberikan hasil yang boleh diukur bagi meningkatkan kualiti pasaran serta keyakinan pelabur, ketika Morgan Stanley Capital International (MSCI) mempertimbangkan untuk menurunkan status pasaran negara itu.
"Keyakinan pelabur mesti dibina menerusi tindakan konkrit, bukan sekadar kenyataan," kata Pengerusi OJK Friderica Widyasari Dewi pada Dialog Pelabur Mandiri Sekuritas di Jakarta, lapor agensi berita ANTARA.
Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini pada Rabu, beliau berkata OJK komited untuk membangunkan pasaran modal Indonesia yang adil, telus, berdaya saing dan mempunyai kredibiliti global.
MSCI pada 16 Okt mengumumkan perundingan mengenai klasifikasi semula Indonesia daripada "Pasaran Membangun" kepada "Pasaran Tersendiri" .
Ketua Pengawasan Pasaran Modal OJK Hasan Fawzi berkata pengumuman itu adalah sebahagian daripada proses perundingan yang sedang berjalan dan bukannya keputusan muktamad.
MSCI menerima maklum balas sehingga 30 April 2027, dengan keputusan muktamad dijangka pada 30 Jun 2027.
OJK berkata ia menghormati penilaian bebas MSCI, selepas mengadakan 16 sesi terancang dengan penyedia indeks itu antara Februari dan Oktober 2026.
Menurutnya, asas pasaran kekal teguh dengan pemodalan pasaran kira-kira US$589 bilion, kedua terbesar di ASEAN, serta memiliki 31.1 juta pelabur.
Syarikat tersenarai mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 15.9 peratus dan pertumbuhan untung bersih bagi tempoh hingga Jun 2026.
OJK juga sedang memperkukuh penyelarasan dengan kerajaan, seperti yang dibincangkan dalam mesyuarat pada 19 Okt antara Presiden Prabowo Subianto, OJK dan Jawatankuasa Kestabilan Sistem Kewangan (KSSK).
Bersama organisasi kawal selia kendiri, termasuk Bursa Saham Indonesia, OJK sedang melaksanakan agenda reformasi lapan perkara bagi meningkatkan kecairan, tadbir urus, ketelusan dan penguatkuasaan undang-undang.
Reformasi itu merangkumi peningkatkan berperingkat pegangan saham apungan bebas minimum kepada 15 peratus, ketelusan pemilikan benefisial yang lebih ketat, perluasan kategori pelabur daripada sembilan kepada 39, pendedahan wajib bagi pegangan melebihi satu peratus serta penerbitan nama syarikat dengan penumpuan pemilikan yang tinggi.
"Reformasi pasaran modal tidak berakhir dengan penambahbaikan peraturan atau pengumuman dasar. Keutamaan kami adalah untuk memastikan pelaksanaan secara konsisten," kata Hasan.
--BERNAMA-ANTARA