JAKARTA: Kementerian Perhutanan Indonesia mengenakan tindakan pentadbiran terhadap enam syarikat pemegang permit Perizinan Berusaha Pemanfaatan Hutan (PBPH) selepas kebakaran memusnahkan 1,511.55 hektar kawasan konsesi hutan di Kalimantan.
Pengarah Pengawasan, Pengenaan Sekatan Pentadbiran dan Hal Ehwal Sivil Perhutanan, Ardi Risman, berkata tindakan itu dikenakan terhadap empat syarikat yang beroperasi di Kalimantan Barat iaitu PT WEL, PT FI, PT MPK dan PT WSP, lapor ANTARA.
Turut dikenakan tindakan sama ialah PT NES di Kalimantan Tengah dan PT PSR di Kalimantan Timur.
Ardi berkata tindakan itu diambil susulan kejadian kebakaran hutan dan tanah yang berulang kali berlaku di kawasan operasi syarikat terbabit.
Di bawah peruntukan Arahan Kerajaan, syarikat terlibat diwajibkan memperkukuh sistem pencegahan dan kawalan kebakaran serta memulihkan kawasan terjejas dalam tempoh yang ditetapkan.
Bagi PT MPK, kementerian turut membekukan lesen operasinya susulan keluasan kawasan yang terjejas serta kejadian kebakaran berulang di kawasan konsesinya.
Menurut Ardi, kegagalan mematuhi arahan pemulihan boleh menyebabkan tindakan lebih tegas diambil, termasuk pembatalan permit operasi mengikut peruntukan undang-undang.
Berdasarkan data pemantauan kementerian, kawasan terbakar terbesar direkodkan di PT WEL seluas 760.51 hektar, diikuti PT MPK (394.83 hektar), PT WSP (107.7 hektar), PT FI (95.87 hektar), PT PSR (82.26 hektar) dan PT NES (70.38 hektar).
Selain itu, syarikat yang mengendalikan kawasan tanah gambut diwajibkan memulihkan fungsi hidrologi menerusi pengurusan air, penyekatan saluran parit, pembasahan semula tanah serta pemantauan paras air bawah tanah.