JAKARTA: Menteri Kesihatan Indonesia mendedahkan beberapa ubat sirap yang terdapat di pasaran negara itu mengandungi ramuan dikaitkan dengan penyakit buah pinggang akut (AKI) yang boleh membawa maut kepada kanak-kanak.

Menurut Budi Gunadi Sadikin, pihaknya sedang menyiasat peningkatan kes kematian dalam kalangan kanak-kanak dan sehingga kini 99 kes direkodkan tahun ini

Susulan itu, Indonesia melarang penjualan semua ubat berasaskan sirap buat sementara waktu.

Penyakit AKI | Indonesia larang semua jenis ubat sirap, cecair

Ia kini meneliti sirap Paracetamol yang mengandungi bahan toksik iaitu dietilena glikol dan etilena glikol.

Ubat berkenaan lazimnya digunakan untuk merawat demam bagi kanak-kanak.

Selain Indonesia, kerajaan Gambia turut menyiasat kes kematian kanak-kanak kerana AKI yang dikaitkan dengan sirap Paracetamol.

Ini selepas 70 kematian direkodkan di negara itu.

India sedang giat melakukan siasatan berhubung ubat sirap berkenaan yang dikeluarkan oleh syarikat yang berpangkalan di New Delhi, Maiden Pharmaceuticals.

Agensi Pengawasan Ubat dan Makanan (BPOM) Indonesia berkata, produk keluaran syarikat berkenaan tidak dijual di negara itu.

Menurut Budi, dietilena glikol dan etilena glikol dikesan dalam ubat sirap yang ditemui di rumah beberapa pesakit, namun beliau tidak mendedahkan bilangan mereka.

BPOM memaklumkan, lima daripada 26 ubat sirap yang diuji agensi itu mengandungi tahap etilena glikol yang berlebihan.

Namun, BPOM menjelaskan, pihaknya tidak boleh membuat kesimpulan bahawa produk berkenaan bertanggungjawab sepenuhnya dan menjadi punca kepada penyakit itu.

BPOM turut mengarahkan syarikat pengeluarnya menarik balik ubat tertentu daripada pasaran dan memusnahkan semua baki yang masih ada.

Indonesia telah mengenal pasti 206 kes kanak-kanak dengan komplikasi AKI yang mana 99 daripadanya adalah kes kematian yang direkodkan bagi tahun ini.

Budi berkata, jumlah sebenar kes itu mungkin lebih tinggi daripada yang dilaporkan