DUNIA

Indonesia, AS lanjut rundingan tarif, cari penyelesaian menang-menang

Bernama 10/07/2025 | 10:36 MYT
Airlangga berkata, Indonesia dan AS berkongsi pandangan yang sama mengenai sifat progresif rundingan berkenaan. - Astro AWANI
JAKARTA: Kerajaan Indonesia dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk meneruskan rundingan dua hala mengenai tarif 32 peratus yang dikenakan ke atas produk Indonesia selama tiga minggu lagi bagi mencapai penyelesaian yang saling menguntungkan, lapor Agensi Berita ANTARA.

"Indonesia dan AS berkongsi pandangan yang sama mengenai sifat progresif rundingan ini. Pada masa akan datang, kita akan terus berusaha untuk mencapai penyelesaian yang saling menguntungkan," kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau mengetuai delegasi Indonesia dalam pertemuan dengan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer di Washington DC pada Rabu (9 Julai).

"Pertemuan ini menandakan langkah penting dalam memperkukuh kerjasama perdagangan antara Indonesia dan Amerika Syarikat," tegas Airlangga.

Beliau berkata Indonesia merupakan antara negara terawal yang dipersetujui AS untuk meneruskan perbincangan tarif selepas Presiden Donald Trump mengumumkan pada 7 Julai untuk mengekalkan duti import 32 peratus ke atas produk Indonesia.

Menteri itu menekankan bahawa kesinambungan rundingan itu mencerminkan komitmen kukuh kedua-dua negara untuk mengekalkan hubungan perdagangan dua hala yang erat.

Dalam pertemuan pada Rabu itu, kerajaan Indonesia menyatakan penghargaan kepada pentadbiran Trump atas pusingan rundingan yang konstruktif sejak pengumuman pertama mengenai tarif timbal balik pada April lalu.

Jakarta dan Washington katanya telah bertukar-tukar pandangan mengenai halangan perdagangan tarif dan bukan tarif, ekonomi digital, keselamatan ekonomi, serta kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan.

"AS menunjukkan minat yang tinggi untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang mineral kritikal memandangkan Indonesia memiliki rizab nikel, tembaga dan kobalt yang banyak. Indonesia juga berminat untuk memanfaatkan potensi kerjasama ini," katanya.

-- BERNAMA

#rundingan tarif #Indonesia #Amerika Syarikat #airlangga hartato