JAKARTA: Indonesia dan Mesir mengecam sekeras-kerasnya pembinaan penempatan haram Israel serta menegaskan semula sokongan terhadap penubuhan negara Palestin.
Kedua-dua negara turut menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan keganasan, operasi ketenteraan Israel dan pelanggaran undang-undang antarabangsa, khususnya yang menjejaskan orang awam Palestin.
Presiden Indonesia Prabowo Subianto berkata kedua-dua negara berkongsi kebimbangan serius terhadap keganasan dan pencabulan hak asasi manusia, khususnya yang menjejaskan wanita, kanak-kanak dan warga emas.
"Kami mengecam sekeras-kerasnya pembinaan penempatan haram Israel serta tindakan yang memburukkan lagi keadaan," katanya dalam kenyataan media bersama Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi selepas pertemuan mereka di Jakarta pada Ahad.
Prabowo menegaskan semula pendirian Indonesia bahawa penyelesaian dua negara kekal sebagai satu-satunya jalan menuju keamanan, manakala kedua-dua negara berikrar untuk terus menyokong hak rakyat Palestin menentukan nasib sendiri, bantuan kemanusiaan serta usaha pemulihan dan pembinaan semula Gaza.
Mengenai situasi lebih luas di Asia Barat, Prabowo berkata kedua-dua pemimpin menggesa ketegangan diredakan, semua pihak menahan diri serta menghormati undang-undang antarabangsa selaras dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sambil memberi amaran bahawa peningkatan ketegangan selanjutnya boleh mengancam keselamatan orang awam, kestabilan global dan ekonomi dunia.
Sementara itu, Indonesia dan Mesir bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan, pertahanan dan maritim, dengan Kaherah menawarkan tambahan biasiswa kepada pelajar Indonesia susulan perbincangan antara pemimpin kedua-dua negara di Jakarta pada Ahad.
Prabowo berkata komitmen itu dicapai dalam perbincangan dengan El-Sisi yang bertujuan memperkukuh perkongsian strategik kedua-dua negara.
"Kami menghargai tawaran Mesir untuk menambah biasiswa, khususnya dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan sains," katanya pada sidang media bersama sambil menambah kedua-dua negara akan memperluas pertukaran pelajar, kerjasama antara universiti dan penyelidikan bersama.
Dalam bidang pertahanan, Prabowo berkata kedua-dua pihak bersetuju memperkukuh kerjasama industri pertahanan, pendidikan dan latihan bersama serta pertukaran melibatkan pemimpin dan pakar ketenteraan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Mesir atas sokongan terhadap kapal Tentera Laut Indonesia yang melaksanakan misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Asia Barat.
Dalam bidang maritim, kedua-dua negara bersetuju meningkatkan kerjasama dalam pembangunan mampan, pemuliharaan sumber marin, membanteras penangkapan ikan secara haram serta pertukaran kepakaran.
Prabowo berkata lawatan itu turut menghasilkan beberapa perjanjian dua hala meliputi bidang maritim dan perikanan, statistik, pelaburan, kerjasama industri pertahanan, perdagangan dan kerjasama ekonomi, selain pelan tindakan bagi memajukan perkongsian strategik kedua-dua negara.
El-Sisi tiba di Jakarta pada Sabtu selepas melawat Malaysia, menandakan lawatan negara pertamanya ke Indonesia dalam tempoh 11 tahun. Kali terakhir beliau melawat negara itu adalah pada September 2015 ketika bertemu Presiden ketika itu Joko Widodo.
-- BERNAMA