Skip to main content

Dunia

Indonesia padam kebakaran seluas 31 hektar di luar enam wilayah keutamaan

Indonesia sedang memadamkan kebakaran hutan dan tanah yang menjejaskan 31  hektar  lagi kawasan di tiga wilayah di Sulawesi dan Papua, di luar enam wilayah keutamaan yang menyaksikan operasi pemadaman berlanjutan selama beberapa bulan. - Gambar Facebook Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB)
Indonesia sedang memadamkan kebakaran hutan dan tanah yang menjejaskan 31  hektar lagi kawasan di tiga wilayah di Sulawesi dan Papua, di luar enam wilayah keutamaan yang menyaksikan operasi pemadaman berlanjutan selama beberapa bulan. - Gambar Facebook Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB)

Advertisement

JAKARTA: Indonesia sedang memadamkan kebakaran hutan dan tanah yang menjejaskan 31  hektar  lagi kawasan di tiga wilayah di Sulawesi dan Papua, di luar enam wilayah keutamaan yang menyaksikan operasi pemadaman berlanjutan selama beberapa bulan.

Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Badan Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB), Berton Panjaitan berkata, kebakaran seluas 20 hektar yang tercetus pada 4 Okt di Mamuju, Wilayah Sulawesi Barat masih aktif setakat Jumaat, dengan asap merebak ke komuniti berhampiran.

"Kerajaan tempatan turut menggali parit menggunakan jentera berat bagi mengelakkan api daripada merebak di bawah permukaan tanah gambut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Enam wilayah keutamaan berkenaan ialah Riau, Jambi dan Sumatera Selatan di Pulau Sumatera, serta Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan di Pulau Borneo, yang mencatatkan 270 kawasan panas setakat Jumaat malam.

Berton berkata, satu lagi kebakaran seluas lima hektar yang bermula pada 8 Okt di Sigi, Wilayah Sulawesi Tengah juga masih aktif, manakala usaha memadamkan kebakaran berterusan di Nabire, Wilayah Papua Tengah berikutan kebakaran seluas enam hektar yang bermula pada 7 Okt.

Sementara itu, beliau berkata, kebakaran menjejaskan lagi 161.97 hektar di empat wilayah telah berjaya dipadamkan, termasuk 123.2 hektar di Raja Ampat, Papua Barat Daya berikutan kebakaran antara 4 hingga 7 Okt; 22.77 hektar di Bali sejak 6 Okt; serta masing-masing lapan hektar di Jawa Timur dan Bangka Belitung dari 8 Okt.

Secara berasingan, Berton memaklumkan, kebakaran seluas 11 hektar di tapak pelupusan sampah Takome di Ternate, Maluku Utara kekal sukar dipadamkan berikutan asap yang merebak ke kawasan perumahan berhampiran, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kesihatan.

Beliau berkata, usaha pemadaman terhalang berikutan api merebak jauh ke dalam timbunan sampah melebihi lima meter tinggi, angin kencang, gas metana dan peralatan yang terhad, manakala Ternate kekal di bawah pengisytiharan darurat bencana sehingga 16 Okt.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement