Skip to main content

Dunia

Indonesia pantau perkembangan Gunung Anak Krakatau - Prabowo

Indonesia’s President Prabowo Subianto attends a meeting with Russia’s President Vladimir Putin at the Kremlin in Moscow, Russia, April 13, 2026. Igor Ivanko/Pool via REUTERS
Presiden Prabowo berkata beliau telah menerima laporan dan maklumat terkini mengenai perkembangan aktiviti gunung berapi itu daripada agensi berkaitan.
Advertisement

JAKARTA: Indonesia terus memantau perkembangan aktiviti Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda dan mengarahkan semua agensi berkaitan mengambil langkah yang diperlukan bagi memastikan keselamatan rakyat susulan sebaran abu gunung berapi ke beberapa wilayah.

Presiden Prabowo Subianto berkata beliau telah menerima laporan dan maklumat terkini mengenai perkembangan aktiviti gunung berapi itu daripada agensi berkaitan.

“Saya telah mengarahkan seluruh jentera kerajaan dan agensi berkaitan untuk terus memantau perkembangan situasi,” katanya menerusi hantaran di akaun Instagram rasminya pada Ahad.

Prabowo turut mengajak rakyat Indonesia memanjatkan doa agar semua pihak diberikan perlindungan susulan kejadian berkenaan.

“Mari kita bersama-sama memanjatkan doa, semoga Allah SWT sentiasa melindungi seluruh rakyat Indonesia, khususnya saudara-saudara kita yang berada di sekitar Gunung Anak Krakatau dan kawasan Selat Sunda, serta saudara-saudara kita di pelbagai daerah yang kini sedang menghadapi musibah dan bencana.

“Semoga diberikan keselamatan, kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi setiap ujian,” katanya.

Setakat 6 September, kira-kira 50 amaran Maklumat Meteorologi Penting (SIGMET) berkaitan abu gunung berapi telah dikeluarkan, manakala sejumlah lapangan terbang melakukan pelarasan operasi susulan sebaran abu berkenaan.

Hingga hari ini (6 September), tujuh lapangan terbang sudah melakukan penyesuaian operasi dengan menutup sementara operasi. Lapangan terbang itu ialah Soekarno Hatta (CGK), Halim Perdanakusuma (HLP),  Radin Inten II Lampung (TKG), Husein Sastranegara (BDO), Budiarto Curug (RTO), Pondok Cabe (PCB), dan Taufik Kiemas (TFY).

Sementara itu, pemerintah Provinsi DKI Jakarta mengambil keputusan untuk menerapkan pembelajaran jarak jauh (PJJ) untuk semua sekolah susulan perkembangan semasa berkaitan aktiviti Gunung Anak Krakatau.

PJJ itu bakal dikuatkuasakan mulai Isnin, 7 September, bagi sekolah tadika, pusat kegiatan belajar masyarakat (PKBM), sekolah rendah, sekolah pendidikan khusus, sekolah menengah negeri dan swasta.

Keputusan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga khususnya berkenaan soal kesihatan dan keselamatan para murid, guru, serta tenaga pendidik lainnya.
 

Must Watch Video

Advertisement