Skip to main content

Dunia

Indonesia pergiat operasi padam kebakaran, jerebu rentas sempadan bertambah buruk

51568690135_TBHUTANKALIMANTANTE.jpg
Sebanyak 7,334 titik panas direkodkan di enam wilayah pada Selasa, dengan Kalimantan Barat mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,610, diikuti Kalimantan Tengah (2,110) dan Sumatera Selatan (1,438). - Gambar fail
Advertisement

JAKARTA: Indonesia pada Rabu mempergiat operasi pemadaman kebakaran di Kalimantan dan Sumatera susulan kebakaran hutan dan tanah yang masih marak, dengan kawasan dianggarkan seluas 74,870 hektar terbakar di enam wilayah keutamaan.

Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Berton Panjaitan berkata operasi udara itu melibatkan 52 helikopter yang menggugurkan lebih empat juta liter air di lokasi kebakaran.

“Kami merekodkan hari ini sebanyak 4.6 juta liter air telah diangkut dan digugurkan di lokasi kebakaran menerusi beberapa penerbangan di enam wilayah keutamaan,” katanya pada sidang media secara dalam talian pada Rabu.

Beliau berkata sebanyak 7,334 titik panas direkodkan di enam wilayah pada Selasa, dengan Kalimantan Barat mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,610, diikuti Kalimantan Tengah (2,110) dan Sumatera Selatan (1,438).

Menurut beliau, Kalimantan Barat turut mencatatkan anggaran keluasan kawasan terbakar tertinggi, iaitu 38,311 hektar, diikuti Riau (16,440 hektar), Kalimantan Selatan (9,605 hektar), Kalimantan Tengah (7,634 hektar), Sumatera Selatan (1,926 hektar) dan Jambi (954 hektar).

Kebakaran hutan dan tanah yang berterusan menyebabkan kualiti udara merosot dengan ketara apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di Kalimantan Tengah mencecah 573 pada awal Rabu, iaitu paras yang dikategorikan sebagai berbahaya.

Sementara itu, Ketua Pusat Krisis Kesihatan Kementerian Kesihatan Agus Jamaludin berkata kira-kira 3.4 juta penduduk terjejas akibat kebakaran di tujuh wilayah, iaitu Riau, Jambi dan Sumatera Selatan di Sumatera serta Kalimantan Barat, Tengah, Timur dan Selatan.

Kebakaran itu turut menimbulkan kebimbangan serius di negara jiran termasuk Malaysia apabila jerebu rentas sempadan memburukkan kualiti udara di beberapa kawasan di selatan rantau ASEAN.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement