DUNIA

Indonesia perketat protokol pendakian Gunung Rinjani

Sinar Harian 28/06/2025 | 10:15 MYT
Penyelamat berusaha menjalankan operasi membawa keluar mayat Juliana Marins yang maut selepas terjatuh di laluan pendakian gunung berkenaan. - Gambar/ IG antorsar_mataram
Pihak berkuasa Indonesia kini menjalankan semakan menyeluruh terhadap sistem pendakian Gunung Rinjani, susulan beberapa insiden membabitkan pendaki antarabangsa di gunung berapi ikonik itu.

Ringkasan AI
  • Pihak berkuasa Indonesia sedang menyemak semula sistem pendakian Gunung Rinjani susulan beberapa insiden melibatkan pendaki antarabangsa, termasuk kematian pendaki Brazil, Juliana Marins, pada 21 Jun lalu.
  • Langkah keselamatan baharu telah diperkenalkan seperti pendaftaran wajib melalui eRinjani, had kuota harian, tempoh pendakian maksimum 4 hari 3 malam, penggunaan pemandu arah bertauliah, serta larangan plastik sekali guna dan dasar pengurusan sisa yang ketat.
  • Semakan ini bertujuan menjadikan Rinjani destinasi bertaraf dunia yang selamat dan lestari, dengan penekanan terhadap komunikasi lebih jelas, sistem amaran awal, dan keseimbangan antara pemeliharaan alam sekitar serta manfaat ekonomi kepada komuniti tempatan.

Kerajaan Wilayah Nusa Tenggara Barat (NTB) memberi bayangan akan melaksanakan rombakan besar terhadap protokol keselamatan dan kawal selia pendakian.
“Kami akan memperkemas peraturan sedia ada bagi mengangkat Rinjani sebagai destinasi bertaraf dunia yang mampan,” kata Timbalan Gabenor NTB, Indah Dhamayanti Putri dalam satu kenyataan.
Gunung Rinjani, gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia, menarik ribuan pendaki setiap tahun. Namun, laluan yang mencabar serta cuaca yang tidak menentu telah menyebabkan beberapa kejadian berisiko tinggi — termasuk insiden tragis melibatkan kematian pendaki dari Brazil, Juliana Marins, pada 21 Jun.
Pihak Taman Negara Gunung Rinjani (TNGR) sebelum ini telah menutup semua laluan pendakian dari Januari hingga 2 April bagi pemulihan ekosistem dan mitigasi musim hujan. Laluan tersebut dibuka semula pada 3 April menerusi pelancaran sistem e-tiket terbaharu dikenali sebagai eRinjani.
Antara langkah keselamatan baharu yang diperkenalkan: Pendaftaran dalam talian secara wajib melalui platform eRinjani serta had kuota harian; tempoh pendakian terhad kepada 4 hari 3 malam sahaja; pemandu arah dan porter bertauliah diwajibkan bagi setiap kumpulan pendaki; waktu daftar masuk dan keluar ditetapkan, bagi memantau pergerakan di laluan dan Protokol alam sekitar, termasuk larangan penggunaan plastik sekali guna dan dasar ‘bawa naik, bawa turun’ untuk sisa buangan.
Pegawai NTB mengesahkan bahawa semakan semula sistem ini turut didorong oleh misi sukar menyelamat dan membawa turun jenazah Marins, yang memerlukan bantuan pemandu arah tempatan Agam Rinjani untuk turun 600 meter ke tebing curam.
Operasi itu mendedahkan keperluan untuk penguatkuasaan lebih ketat terhadap syarat peralatan dan taklimat laluan, terutamanya kepada pendaki asing yang sering memandang ringan risiko pendakian.
“Kita perlukan sistem amaran awal yang lebih berkesan dan komunikasi yang lebih jelas dengan para pendaki, khususnya apabila berlaku perubahan cuaca secara tiba-tiba,” kata Gunawan Arifin, seorang renjer TNGR.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa matlamat jangka panjang adalah untuk memastikan Gunung Rinjani kekal selamat dan lestari dengan imbangan antara pemeliharaan alam sekitar dan peluang ekonomi kepada masyarakat tempatan.
“Kita bertanggungjawab terhadap gunung ini, kepada komuniti yang bergantung padanya, dan kepada seluruh pendaki antarabangsa untuk melindungi serta menguruskan Rinjani dengan penuh komitmen,” ujar Timbalan Gabenor Indah. - Sinar Harian
#Gunung Rinjani #pendaki maut #prosedur pendakian #pendaki brazil maut