DUNIA

Indonesia rancang bangun jana kuasa nuklear secara berperingkat

Bernama 04/02/2026 | 11:45 MYT
Indonesia telah membuat keputusan dasar baharu untuk memulakan perolehan tenaga nuklear, bermula dengan kapasiti lebih kecil sebelum dipertingkatkan. - Gambar hiasan/ Adobe Stock Image
JAKARTA: Indonesia menyasarkan pembangunan loji jana kuasa nuklear (NPP) dengan kapasiti keseluruhan tujuh gigawatt (GW) secara berperingkat, sebagai sebahagian daripada strategi peralihan tenaga nasional yang lebih luas.

Utusan Khas Presiden bagi Tenaga dan Iklim, Hashim Djojohadikusumo berkata kerajaan telah membuat keputusan dasar baharu untuk memulakan perolehan tenaga nuklear, bermula dengan kapasiti lebih kecil sebelum dipertingkatkan.

"Ini adalah perkara baharu, benar-benar baharu. Pada peringkat awal 500 megawatt, dan secara beransur-ansur meningkat sehingga tujuh GW menjelang 2034," katanya pada Sidang Kemuncak Ekonomi Indonesia 2026, di sini pada Rabu, lapor Agensi Berita ANTARA.

Hashim berkata bagi tempoh 10 tahun akan datang, kerajaan menyasarkan untuk membina 70 GW kapasiti penjanaan kuasa baharu, dengan bahagian dominan sebanyak 76 peratus adalah daripada tenaga baharu dan boleh baharu.

Beliau berkata skala dorongan tenaga boleh baharu itu telah menarik minat pelabur global dan penyedia teknologi.

Selain tenaga boleh baharu dan nuklear, Hashim berkata gas asli akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan sistem semasa tempoh peralihan.

Hashim menegaskan bahawa hala tuju tenaga secara keseluruhan menekankan usaha kerajaan untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi, keselamatan tenaga dan pengurangan pelepasan karbon secara mampan.

Beliau berkata keputusan untuk memulakan pembangunan tenaga nuklear juga membuka peluang pelaburan baharu, baik dalam pembiayaan mahupun penyediaan teknologi, selaras dengan permintaan elektrik jangka panjang Indonesia yang semakin meningkat.

-- BERNAMA



#Indonesia #janakuasa nuklear #tenaga nuklear #Hashim Djojohadikusumo