DUNIA
Indonesia sahkan tujuh kes baharu COVID-19 ketika jangkitan serantau meningkat
Orang ramai diseru untuk terus berwaspada dengan amalan kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal. - Gambar hiasan
JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia mengesahkan tujuh kes baharu COVID-19 yang dikesan antara 25 hingga 31 Mei, ketika beberapa negara jiran berdepan peningkatan semula kes, lapor stesen Metro TV.
Ringkasan AI
- Tujuh kes baharu COVID-19 di Indonesia: Kementerian Kesihatan Indonesia mengesahkan tujuh kes baharu antara 25 hingga 31 Mei, dengan kadar positif mingguan sebanyak 2.05 peratus, tanpa sebarang kematian dilaporkan.
- Peningkatan kes dan varian baharu: Kes tertumpu di Jakarta, Banten dan Jawa Timur, dengan varian baru seperti XEC, JN.1, LF.7 dan NB.1.8 muncul di rantau ini, namun Menteri Kesihatan menegaskan varian ini tidak membawa maut.
- Langkah berjaga-jaga diteruskan: Orang ramai diseru untuk terus berwaspada dengan amalan kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal, walaupun tahap penularan masih rendah.
Jurucakap kementerian, Widyawati berkata kes berkenaan dikenal pasti menerusi ujian saringan berkala, yang mencatatkan kadar positif mingguan sebanyak 2.05 peratus.
"Tiada kematian dilaporkan membabitkan kes terbaharu ini," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 72 kes disahkan sepanjang tahun ini hasil daripada 2,160 sampel yang diuji.
Kadar positif tertinggi tahun ini direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-19 dengan 3.62 peratus dan kebanyakan kes tertumpu di Jakarta, Banten dan Jawa Timur.
Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin pada Selasa menasihatkan orang ramai agar tidak panik susulan peningkatan kes, sambil menjelaskan bahawa varian yang menular ketika ini adalah varian tidak membawa maut.
"Varian ini secara relatifnya tidak membawa maut, jadi tiada keperluan untuk bimbang secara berlebihan. Masyarakat tidak perlu panik," katanya selepas memberi taklimat kepada Presiden Prabowo Subianto di Istana Merdeka berhubung pelbagai isu kesihatan, termasuk situasi semasa COVID-19.
Kementerian turut mengeluarkan surat edaran baru-baru ini, menyeru orang ramai agar terus berwaspada memandangkan peningkatan kes di rantau ini turut dipacu oleh kemunculan varian baharu seperti XEC, JN.1, LF.7 dan NB.1.8.
"Walaupun tahap penularan masih rendah, langkah kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka, kebersihan diri dan penjarakan fizikal masih digalakkan," menurut kenyataan kementerian.
Setakat ini, varian MB.1.1 kekal sebagai varian dominan di Indonesia.
Indonesia sebelum ini mengalami beberapa gelombang besar COVID-19 antara 2020 hingga 2022, yang memberi tekanan besar terhadap sistem penjagaan kesihatannya dan mencetuskan pelaksanaan sekatan awam secara meluas.
-- BERNAMA