DUNIA

Indonesia sasar pengurangan kemiskinan sebagai fokus utama 2026

Bernama 16/01/2026 | 21:50 MYT
Bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda Wilayah Sumatera pada November 2025 telah memberikan cabaran tambahan kepada usaha mengurangkan kadar kemiskinan. - Foto X/MataHari
JAKARTA: Kerajaan Indonesia menetapkan pengurangan kadar kemiskinan sebagai fokus utama dalam dasar pembangunan nasional tahun ini, selaras dengan Rencana Kerja Pemerintah (RKP) 2026, lapor Agensi Berita ANTARA.

"Isu kemiskinan kini merupakan satu daripada isu keutamaan bagi kerajaan," kata Timbalan Perancangan Pembangunan Makro di Kementerian Perencanaan Pembangunan Nasional, Eka Chandra Buana, kepada ANTARA di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata kerajaan sedang mempertingkatkan usaha untuk menyalurkan bantuan sosial dengan lebih berkesan melalui digitalisasi, yang disokong oleh Data Tunggal Sosio dan Ekonomi Nasional (DTSEN).

Buana berkata kerajaan turut melancarkan Kad Kebajikan bagi memenuhi keperluan asas komuniti berpendapatan rendah, selain Kad Perniagaan Afirmatif yang dirangka untuk pemerkasaan masyarakat termasuk latihan kemahiran dan peluasan akses kepada modal.

Bagi jangka masa sederhana hingga panjang, pembangunan sumber manusia dalam keluarga miskin diperkukuh menerusi program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) dan program sekolah tanpa yuran - Sekolah Rakyat, sebagai sebahagian daripada usaha memutus rantaian kemiskinan antara generasi.

"Bagi menunjukkan komitmen nasional, Presiden telah mengeluarkan Arahan Kepresidenan Nombor 8 Tahun 2025 mengenai Pengoptimuman Pengurangan Kemiskinan dan Pembasmian Kemiskinan Tegar, yang berfungsi sebagai asas untuk memperkukuh penyelarasan merentas kementerian dan agensi," katanya.

Menurut Buana, bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda Wilayah Sumatera pada November 2025 telah memberikan cabaran tambahan kepada usaha mengurangkan kadar kemiskinan.

Bagi menangani perkara itu, kerajaan mengeluarkan Dekri Kepresidenan Nombor 1 Tahun 2026 mengenai Pasukan Petugas untuk Menyegerakan Pemulihan dan Pembangunan Semula Pasca Bencana di Sumatera.

Pasukan petugas ini melibatkan pelbagai kementerian dan agensi dengan tumpuan kepada pemulihan sosial dan ekonomi serta jaminan bekalan makanan yang berkait rapat dengan usaha mengurangkan kemiskinan.

"Dalam konteks ini, kerajaan bukan sahaja menyediakan keperluan asas bagi komuniti yang terjejas akibat bencana, malah turut menawarkan sokongan pemulihan ekonomi termasuk bantuan kepada penduduk yang kehilangan modal perniagaan akibat banjir di Sumatera," katanya.

--BERNAMA-ANTARA







#Indonesia #kemiskinan #RKP #Dasar Pembangunan Nasional