DUNIA
Indonesia serah dokumen penting bagi usaha sertai OECD

Airlangga (gambar) menyerahkan dokumen itu kepada Setiausaha Agung OECD Matthias Cormann pada Isnin, menandakan pencapaian penting dalam usaha Indonesia menyertai blok dianggotai 38 negara itu. - Gambar fail/REUTERS
JAKARTA: Indonesia secara rasmi menyerahkan Memorandum Permulaan kepada Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), setahun selepas negara itu menerima peta laluan penyertaannya pada Mesyuarat Majlis Menteri (MCM) OECD 2024.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto mengetuai delegasi negara itu ke Paris dari 2 hingga 5 Jun bagi menghadiri MCM OECD, menurut kementerian berkenaan dalam satu kenyataan pada Selasa.
Airlangga, yang mengetuai Pasukan Kebangsaan Penyertaan OECD Indonesia, menyerahkan dokumen itu kepada Setiausaha Agung OECD Matthias Cormann pada Isnin, menandakan pencapaian penting dalam usaha Indonesia menyertai blok dianggotai 38 negara itu.
"Penyiapan Memorandum Permulaan dalam tempoh setahun mencerminkan komitmen nasional kami yang kukuh terhadap penyertaan OECD," katanya, sambil mengakui bahawa laluan selepas ini merupakan "maraton panjang" yang memerlukan penglibatan berterusan dengan jawatankuasa OECD.Menurut kementerian itu, Memorandum Permulaan itu mengandungi penilaian kendiri Indonesia terhadap pematuhan kepada piawaian OECD merangkumi 32 bab dan 240 instrumen perundangan.
Penyediaannya melibatkan 64 kementerian dan agensi merentasi 26 sektor serta lapan bidang rentas sektor, berdasarkan kepada Dekri Presiden No. 17/2024 dan Keputusan Menteri No. 232/2024, tambah kementerian itu.
OECD yang ditubuhkan pada 1961 dan beribu pejabat di Paris menyediakan platform kepada negara anggota untuk membangunkan dasar berasaskan bukti, berkongsi amalan terbaik serta menangani cabaran ekonomi, sosial dan alam sekitar global.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami